IMPIAN penyanyi Elyana untuk tampil dalam sebuah konsert istimewa buat peminat, sekali gus meraikan 19 tahun perjalanan seninya bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Meskipun berdepan dengan masalah kesihatan yang tidak menentu, Elyana yang juga pesakit kanser Limfoma tahap empat, mengakui ia bukan penghalang untuknya beraksi.
"Kalau ikutkan, semua penyanyi mempunyai impian untuk mengadakan konsert sendiri sebagai penanda aras kepada kerjaya nyanyian mereka, begitu juga dengan saya.
"Semenjak awal bergelar penyanyi lagi, saya memang mempunyai impian untuk buat konsert tetapi tidak pernah terlaksana. Namun apabila ramai peminat mula bertanya tentang konsert, barulah saya mula berfikir kembali tentang impian tersebut.
"Pada mulanya saya hanya nak buat showcase tetapi tidak sangka pula banyak pihak yang tampil mahu bekerjasama dan memberi cadangan kepada saya untuk buat persembahan dalam skala lebih besar,” ujarnya.
Disebabkan itu, Elyana atau nama lengkapnya, Erneelya Elyana Emrizal, 32, sanggup menangguhkan seketika rawatan kemoterapi demi memberi tumpuan kepada konsert yang dinamakan Elyana: Jadi Diriku 19 Live In Concert.
Menariknya, konsert yang bakal berlangsung di Bently Music Auditorium, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pada 6 Julai depan ini turut bertujuan mengumpul dana bagi pesakit-pesakit kanser menerusi kerjasama dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
"Saya sanggup tangguhkan rawatan demi menjayakan konsert ini kerana saya fikir dalam keadaan saya sakit, kalau asyik tunda, saya takut impian tidak kesampaian. Baik buat sebelum terlambat."Alhamdulillah, semua perancangan berjalan dengan lancar meskipun ideanya dicetuskan dalam masa yang singkat. Saya bertuah kerana dipertemukan dengan pasukan kerja yang sangat hebat sanggup bekerja keras untuk konsert ini,” katanya yang ditemui di majlis sidang media Elyana: Jadi Diriku 19 Live In Concert di Red Box, The Gardens Mall, pada Khamis.
Sokongan penuh keluarga
Pada konsert anjuran MRS Production berdurasi satu jam setengah itu, Elyana yang memulakan kerjaya seni dalam bidang nyanyian pada usia 15 tahun ini, akan menyampaikan seleksi lagu-lagu popular yang pernah menaikkan namanya.
Meskipun bersemangat menantikan saat tibanya konsert tersebut, Elyana tidak menafikan kemungkinan berdepan risiko berkaitan kesihatannya. Disebabkan itu, penyanyi Kalis Rindu ini akan membuat persiapan sebaiknya, selain mendapatkan nasihat doktor.
"Bukan sahaja untuk konsert tetapi kalau untuk persembahan biasa pun, saya selalunya akan membuat persiapan lebih awal untuk memastikan kesihatan saya dalam keadaan yang baik dengan mendapatkan rehat yang cukup.
"Insya-ALLAH saya juga akan mula bersenam untuk stamina dan memastikan saya mempunyai tenaga yang cukup apabila membuat persembahan nanti. Malah sebulan sebelum konsert, saya akan dibantu oleh seorang trainer untuk tujuan itu,” katanya.
Ditanya tentang reaksi suami dan keluarga apabila mendapat tahu dia mahu mengadakan konsert meskipun dalam keadaan kesihatannya yang tidak dapat dijangka? Kata Elyana, mereka yang menyayanginya tahu apa yang diinginkan.
"Suami dan keluarga memberikan sokongan penuh kepada hasrat saya untuk adakan konsert. Mereka nak tengok saya gembira dengan buat apa yang saya nak buat.
"Sungguhpun saya sakit, takkanlah hidup saya hanya terperuk di rumah atau berulang-alik ke hospital sahaja. Saya tidak mahu begitu, sebaliknya ingin membuktikan kepada umum terutamanya kepada mereka yang senasib, walaupun sakit, kita boleh buat apa yang kita mahu.
"Saya harap konsert ini nanti dapat memberikan inspirasi kepada orang lain. Dalam masa yang sama, rakaman konsert ini nanti mungkin boleh mengubati rindu mereka kepada saya kelak. Saya mahu tinggalkan momen itu kepada mereka sebagai tanda ingatan,” luahnya.
Tiket untuk Elyana: Jadi Diriku 19 Live In Concert boleh didapati menerusi www.shopee.com.my pada harga RM139 (untuk 100 pembeli terawal), RM159 dan RM199 (meet and greet).