KUALA TERENGGANU - Polis telah merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan berhubung isu replika senjata yang dibawa ketika pertandingan perarakan sempena program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu, Jumaat lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, beberapa lagi individu lain akan turut dipanggil pada petang Isnin bagi meneruskan siasatan.
Iklan
Iklan
"Sebahagian lagi keterangan akan terus diambil dengan memanggil beberapa orang saksi lagi termasuk peserta-peserta program," katanya dalam kenyataan, di sini pada Isnin.
Menurut beliau, setakat ini terdapat tiga laporan polis dibuat berhubung isu tersebut.
Ahad lalu, tular di media sosial gambar sekumpulan lelaki membawa replika berbentuk senjata sambil berarak dalam program yang dianjurkan di Setiu, Terengganu.
Selain replika senjata yang dipegang oleh lelaki dengan memakai kostum zaman perang, terdapat juga replika sebilah pedang gergasi yang dibawa oleh kenderaan pacuan empat roda.
Difahamkan, kesemua replika tersebut adalah antara alatan digunakan dalam pertandingan yang dianjurkan pada program himpunan berkenaan.