REYHANLI, TURKIYE - Dalam tempoh tiga hari, Muna Abdul Razak, 38, akan berulang alik sejauh 200 meter dari lokasi penempatan sementara ke bangunan kediamannya yang runtuh di Antakya dalam tragedi gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter yang menggegarkan negara ini, pada 6 Februari lalu.
Tujuannya hanya satu iaitu mencari anak sulungnya, Munir Abdul Razak, 17, dan anak bongsu, Majid, 13, yang nasib mereka tidak diketahui sama ada hidup ataupun telah meninggal dunia.
Pada satu ketika, harapan Muna seakan musnah selepas pihak keselamatan serta pasukan mencari dan menyelamat memberitahu bahawa anaknya tidak mungkin hidup berdasarkan struktur bangunan setinggi tujuh tingkat itu musnah.
Bahkan bangunan kediaman di sebelahnya juga menghempap perumahan Muna.
Pun begitu, Muna tetap tidak putus asa selepas mendapat petunjuk bahawa dua anak kesayangannya itu masih hidup.
"Setiap hari tidur saya tidak lena. Nak makan pun tidak mampu. Saya asyik terkenangkan mereka," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah saudaranya di bandar ini.
Muna berkata, dalam tempoh tiga hari itu juga, suaranya hilang selepas setiap masa menjerit memanggil nama dua anaknya, tidak kira siang atau pun malam yang suhunya mencecah hampir -10 darjah Celsius.
"Berkat kesabaran dan tidak putus asa serta dibantu dengan petunjuk ALLAH, anak saya terselamat. Mereka hanya mengalami kecederaan ringan.
"Mereka terperangkap di dalam bilik, di bahagian yang sempit akibat runtuhan dinding dan siling batu," katanya.
Mengimbas kembali kejadian itu, Muna berkata, sewaktu berlakunya gegaran, dia bersama suami, Nazim Abdul Razak, 42, dan anak kedua, Majid, 15, tidur di ruang tamu manakala Munir serta Yamil tidur di dalam bilik.
"Kami bertiga sempat melarikan diri tetapi Munir dan Yamil tidak berjaya kerana dinding rumah di tingkat lima telah runtuh," katanya.
Sebaik Munir dan Yamil diselamatkan, Muna gagal menahan air mata sambil meluahkan rasa syukur kepada ALLAH SWT kerana mengabulkan doanya.
Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.
Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.
Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/