SETAPAK - Mayat seorang bayi lelaki cukup sifat ditemukan berhampiran tong sampah di Taman Setapak Jaya kira-kira jam 3,kelmarin.
Mayat bayi masih bertali pusat bersama uri itu dibalut dengan kain langsir dijumpai oleh seorang penduduk.
Wanita berusia 50-an itu dikatakan ke tong sampah itu sebaik menyedari lori sampah tiba untuk mengangkut sampah binaan rumahnya yang sedang diubah suai.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kejadian memaklumkan, kain dengan kesan darah itu berada di situ sejak jam 10 pagi.
"Saya nampak kain dengan kesan darah, tapi tak rasa nak tengok lebih dekat sebab ingat mungkin sampah biasa.
"Tapi, bila makcik tu bagi tahu, baru saya tahu ia berisi mayat bayi. Saya rasa ia perbuatan orang luar yang buang di sini," katanya.
Katanya lagi, ini kerana lokasi tong sampah tersebut di tepi jalan memudahkan sesiap sahaja mudah untuk membuang sampah atau benda-benda lain.
"Mungkin bayi itu dibuang orang luar pada waktu malam," katanya lagi.
Sejurus megetahui mengenai bayi tersebut, keluarganya membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
"Selepas selesai pemeriksaan, mayat bayi itu dibawa meninggalkan lokasi kira-kira jam 4 petang," katanya.
"Mayat bayi masih bertali pusat dan beruri itu dibungkus dalam kain langsir dipenuhi darah," katanya.
Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan atau luka pada mangsa.
"Bayi tersebut dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.