KUALA LUMPUR - Seorang peniaga direman empat hari bagi siasatan berkaitan video tular memaparkan individu memegang pistol dalam keadaan tangan bergari pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu diberkas setelah pihaknya menerima laporan polis berkaitan video tersebut.
"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
"Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan suspek berumur 46 tahun itu di sekitar Kuala Lumpur," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai berkaitan video itu antaranya sebuah telefon bimbit dan seutas jam tangan berjenama.
"Suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan seterusnya akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Pada Jumaat, tular video di laman sosial memaparkan seorang individu memegang pistol dalam keadaan tangan bergari.