PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) perlu akui bahawa prestasi pasukan negara berada pada tahap kurang meyakinkan ketika ini selepas cabaran terhenti di suku akhir di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC 2023) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Malah tanpa berselindung Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustafa menyifatkan senario itu sekiranya tidak diperbaiki dalam masa terdekat bakal memberi impak negatif menjelang kejohanan lain selepas ini.
Menurutnya, senario awal tahun ini sebenar tidak begitu cemerlang berbanding pelbagai kejayaan diraih skuad negara pada tahun 2022 lalu.
"Para peminat sukan badminton negara sebenarnya sedang memerhati prestasi pasukan negara dalam beberapa kejohanan awal tahun ini.
"Apabila China sudah mula meletakkan pasukan kedua di BAMTC 2023, ini bukan sesuatu yang baik untuk Malaysia di Sukan Olimpik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Untuk rekod, pasukan negara menyasarkan pentas separuh akhir di BAMTC 2023, namun terpaksa akur tewas kepada penyandang juara China apabila tewas 3-2 di suku akhir.
BAM sebelum ini meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir, selain berharap mengungguli Kumpulan B yang turut dianggotai India, Kazakhstan dan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Terdahulu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan BAMTC 2023 merupakan pentas persediaan sebenar sebelum bermula cabaran Piala Sudirman pada Mei depan.
Mengulas lanjut, Mohd Sadek menyifatkan keupayaan barisan muda China di Dubai membuktikan kuasa badminton itu dalam persediaan rapi mencipta kejutan di Sukan Olimpik Paris 2024.
"China sudah pun melakukan kitaran para pemain selepas berakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam usaha menyediakan pasukan yang mantap.
"Seharusnya ini menyedarkan pasukan negara untuk lebih berani mempertaruhkan pemain pelapis bagi kejohanan utama berintensiti tinggi
"Jadi program latihan para pemain negara perlu diperkemaskan semula berdasarkan sasaran mata untuk mata Sukan Olimpik Paris 2024.
"Para pemain perlu program bina semangat dan keyakinan diri dikendalikan pihak ketiga bagi mengembalikan keyakinan dan fokus pemain terhadap tanggungjawab mereka,” katanya.
Mohd Sadek juga mencadangkan supaya badan induk badminton negara tersebut merehatkan para pemain senior yang kurang menyerlah di Dubai sebelum ini.
Sebaliknya kata beliau, tempat para pemain utama perlu diberikan kepada pelapis dalam memastikan setiap mereka memiliki minit permainan kompetitif.
"Pada ketika ini kita perlu berani untuk meletakkan para pemain muda di kejohanan berstatus Super 1,000, sebagai pendedahan.
"Sejujurnya saya juga melihat kita agak jauh ke belakang dalam peningkatan prestasi pemain muda berbanding negara Asia seperti Jepun, Thailand, Indonesia dan Taiwan.
"Malah kita juga kurang menyerlah seperti yang berlaku semasa Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Remaja Dunia tahun lalu.
"Kita perlu berani melakukan sesuatu yang luar biasa bermula dengan Piala Sudirman pada Mei depan, diikuti Kejohanan Seluruh England,” katanya.