KUALA NERUS - Seorang graduan menjadikan hasil pendapatan yang diperoleh melalui aplikasi video popular, TikTok untuk membuat kerja amal iaitu membeli dan mengagihkan tudung percuma kepada golongan wanita.
Hanim Sophia Mohd Sohor, 25, berkata, wang tersebut diperoleh melalui 'gift' yang diberikan pengikutnya menerusi siaran langsung di laman sosial itu.
"Bagi saya, walaupun sumbangan ini tidak begitu besar ia sekurang-kurangnya memberikan ganjaran pahala yang berterusan termasuk kepada 'follower' saya yang tidak jemu memberikan sokongan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Terengganu Hijab Day di sini, pada Isnin.
Gadis kelahiran Kampung Kijing, Marang itu memenangi tempat pertama dalam pertandingan video pendek berjudul 'Indahnya Berhijab' sempena program Terengganu Hijab Day sekali gus melayakkannya membawa pulang RM500.
Jelasnya lagi, kerja amal itu juga dilakukan bagi menyahut kempen sempena sambutan Terengganu Hijab Day.
"Saya gunakan semua duit 'gift' yang saya dapat untuk beli tudung dan beri percuma kepada orang ramai.
"Setiap tudung yang saya beli saya akan bungkus untuk diagihkan, saya juga sertakan bersama kata-kata hikmah berunsur dakwah.
"Ia bertujuan menyampaikan kata-kata yang baik dan mengajak orang ramai untuk berbuat kebaikan," ujar anak kelima daripada tujuh beradik itu.
Hanim Sophia merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Bharu, Kelantan.
Dia menggunakan nama pena Ratu Penyu di laman TikToknya yang kini mempunyai seramai 17,900 pengikut.
"Terima kasih buat follower saya yang tidak jemu menyokong. Tanpa anda, saya tak dapat jayakan kempen itu.
"Insya-ALLAH, selepas ini saya akan terus istiqamah dalam dakwah ini,"ujarnya.