SHAH ALAM - Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menolak pandangan pihak industri bahawa kenaikan gaji pekerja di negara ini lebih tinggi berbanding kadar produktiviti.
Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan berkata, sudut pandangan sedemikian jelas menterjemahkan bahawa pihak industri di negara ini lebih mengutamakan keuntungan dengan kadar upah rendah.
"Bagi industri, secara mudahnya produktiviti adalah output yang dikeluarkan lebih banyak daripada input iaitu berapa banyak hasil majikan dapat daripada apa yang mereka laburkan.
"Ia adalah satu ukuran kecekapan seseorang untuk menyelesaikan sesuatu tugas tetapi definisi itu lebih sesuai untuk produktiviti hasil kilang berbanding dipadankan dengan produktiviti manusia sebagai makhluk hidup.
Tambah beliau, definisi berkenaan akan membantu semua pihak memahami dengan jelas sebab pekerja adakalanya menjadi tidak produktif pada sesetengah waktu.
"Oleh itu, pentingnya industri memainkan peranan utama iaitu pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat melalui 'reskilling dan upskilling' dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di tempat kerja untuk golongan belia.
"Kita boleh mempersoalkan berapa banyak peruntukan yang industri sediakan untuk pembangunan modal insan selain mengharapkan insentif dan inisiatif dari kerajaan semata-mata," ujarnya.
Mohammad Rizan mendakwa meskipun akhir-akhir ini adanya gesaan yang serius agar latihan TVET diterajui oleh industri namun ianya tidak akan memberi impak besar kepada kerajaan, institusi latihan kemahiran dan industri yang masih memegang stereotaip negatif mengenai persepsi dan keupayaan belia di negara ini.
"Semua pihak mengakui bahawa golongan belia mempunyai bakat dan potensi yang besar termasuk melonjakkan ekonomi negara melalui tenaga kerja berkemahiran.
"Namun bagaimanakah industri dapat memanfaatkan tenaga, semangat, dan komitmen belia? Bagaimanakah suara belia didengari, bakat dan potensi mereka diberi penghargaan atau pengiktirafan selain adakah masalah mereka diselesaikan dengan segera?" soalnya.
Mohammad Rizan menjelaskan, kunci kepada persoalan tersebut adalah pentingnya kerjasama belia-dewasa (Youth-Adult Partnership) diterjemahkan di tempat kerja.
"Jadi membangunkan modal insan berkemahiran di Malaysia bukan sekadar menentukan siapa peneraju latihan TVET atau isu gaji bermaruah untuk generasi muda semata-mata.
"Namun menuntut kerajaan, institusi latihan kemahiran dan industri menjadi rakan pembangunan yang baik dan 'orang dewasa yang dipercayai'," jelasnya lagi.