PUTRAJAYA - Sebanyak empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu epidemiologi ketujuh 2023 iaitu pada 12-18 Februari kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau dalam kenyataan pada Selasa berkata, sepanjang tempoh tersebut 2,149 kes demam denggi dilaporkan, berbanding 1,967 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 182 kes atau 9.3 peratus.
"Sebanyak 13 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding satu kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 79 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu tersebut berbanding 86 lokaliti pada minggu sebelumnya, dengan 53 berada di Selangor, Sabah (20), Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat) serta Pulau Pinang (dua)
Menurutnya, survelan Chikungunya merekodkan sebanyak lapan kes pada minggu ketujuh dengan empat kes di Pulau Pinang, tiga kes di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Putrajaya, menjadikan kumulatif kes setakat ini 94.
Dr Noor Hisham berkata, bagi survelan Zika, sebanyak 328 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan dan kesemuanya negatif.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak alpa dengan waktu puncak gigitan nyamuk Aedes, iaitu 6 hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 8 malam, terutama dalam cuti sekolah ini yang sering diadakan aktiviti berkumpul, beriadah dan kegiatan rekreasi.
Justeru, orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami gejala demam denggi iaitu demam tinggi secara tiba-tiba, sakit otot atau sendi, sakit kepala dan sakit pada belakang mata, serta segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat tanda bahaya seperti muntah, cirit-birit atau pendarahan. - Bernama