KEPULANGAN pemain sensasi, Christopher Nkunku menjadi taruhan skuad Bundesliga, RB Leipzig untuk berdepan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara di laman sendiri, awal pagi Khamis ini.
Nkunku mempamerkan aksi mantap ketika membantu Leipzig menang 3-0 di Wolfsburg Ahad lalu.
Biarpun tidak meledak, namun pemain berusia 25 tahun itu membuat bantuan untuk Konrad Laimer menjaringkan gol.
Beraksi 21 minit membuktikan dia mampu untuk berada dalam senarai kesebelasan utama dan pengurus Marco Rose melihat betapa penting penyerang itu kepada Leipzig.
"Apabila dia di atas padang, kami akan lebih sukar buat pasukan lawan,” kata Rose.
Nkunku mengalami kecederaan lutut pada November ketika sesi latihan terakhir Perancis sebelum berlepas ke Qatar bagi mengharungi Piala Dunia 2022.
Meskipun terlepas lima aksi liga, Nkunku masih menduduki tangga teratas carta penjaring gol Leipzig musim ini dengan 12 gol kurang satu daripada pendahulu musim ini di Bundesliga, Niclas Fuellkrug.
Kemunculan semula Nkunku amat bermakna bagi menghidupkan harapan Leipzig untuk melepasi pusingan 16 terakhir buat kali kedua dalam sejarah kelab.