'Bukan sesak nafas atau panik' - Fathul Huzir

Iklan
Fathul Huzir

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob menjelaskan beliau bukan diserang sesak nafas atau panik ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Isnin hingga membuatkan Dewan Rakyat 'cemas' seketika.

Fathul Huzir berkata, beliau cuma sedikit sebak apabila menyebut tentang isu infrastruktur kesihatan dan kemudahan jalan raya serta kemiskinan rakyat di Gerik.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya tak ada apa pun, saya cuma sedikit sebak apabila saya sebut pasal beberapa hal yang menjadi harapan kepada orang Gerik," katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Media pada Isnin melaporkan sidang Dewan Rakyat sedikit 'cemas' apabila Fathul Huzir kelihatan tidak selesa dan percakapannya tersekat-sekat ketika sedang membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Iklan

Situasi itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohod Nor, beberapa kali bertanyakan keadaan kesihatan ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu sama ada beliau boleh meneruskan perbahasan atau sebaliknya.

Beliau kemudiannya mendapatkan rawatan di klinik Parlimen selepas diminta oleh Ramli sebelum diberikan rehat.

Iklan

Fathul Huzir memberitahu, rakyat di Gerik tidak mempunyai ahli Parlimen selama dua tahun selepas penyandang jawatan itu sebelum ini Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada November 2020.

"Sejak itu kami tak ada ahli Parlimen dan banyak isu yang tak dapat diselesaikan dan tertangguh.

"Jadi apabila saya dipilih (sebagai ahli Parlimen yang baharu) seolah-olah ia bawa satu harapan yang tinggi kepada warga Gerik.

"Nak kata (saya alami) tekanan, saya tak tertekan. Cuma bila menyentuh sedikit sebanyak soal kemiskinan dan ketinggalan di Gerik saya sedikit sebak," ujarnya.

Menurut Fathul Huzir, Gerik dilihat agak ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur yang menyebabkan kebanyakan generasi muda di kawasan itu termasuk beliau sendiri tertanya-tanya kenapa keadaan itu berlaku.

"Tempat kami ada banyak hasil bumi dan menyumbang kepada hasil negara serta negeri tapi kami rasa macam ketinggalan, jalan kita teruk dan masih ada tempat yang tiada lampu jalan.

"Kami bukan niat nak menyalahkan siapa-siapa cuma mengutarakan apa yang bermain dalam fikiran generasi muda di Parlimen Gerik khasnya dan Hulu Perak amnya. Itu sahaja," jelasnya.