SHAH ALAM - Wanita Pakatan Harapan (PH) menggesa agar semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik dan jantina menyokong pindaan perlembagaan dalam memberi hak kerakyatan kepada anak lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.
Ketuanya, Aiman Athirah Sabu berkata, bagi merealisasikan pindaan tersebut, ia memerlukan sokongan majoriti dua per tiga daripada Ahli Parlimen di dewan rakyat.
Malah beliau menyifatkan tindakan itu sebagai manifestasi komitmen dan keberanian Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, perkara berkenaan telah diteliti dan dipersetujui oleh mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat Jemaah Menteri telah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1) (e) dan Bahagian II, Seksyen 1 (b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.
Pada masa sama, Aiman Athirah turut menzahirkan penghargaan pihak-pihak yang terlibat dalam memperjuangkan hak wanita Malaysia.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Family Frontiers Malaysia dan semua pergerakan wanita di seluruh negara atas konsistensi perjuangan tanpa rasa takut dan gigih dalam mendapatkan hak berkenaan.
"Wanita PH sentiasa komited memastikan Kerajaan Perpaduan untuk terus memberikan tumpuan menyingkirkan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita di Malaysia,” ujarnya.