Bekas pengarah jabatan kerajaan antara dua ditahan SPRM

Iklan
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu termasuk seorang bekas pengarah jabatan kolej komuniti kerana bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM165,000 pada 2013.

Menurut sumber, bekas pengarah jabatan kolej komuniti dan pengarah syarikat swasta yang masing-masing berusia 57 tahun dan 47 tahun tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 11.15 pagi dan 11.30 pagi selepas hadir memberi keterangan.

Katanya, kedua-dua lelaki tersebut telah bersubahat mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Pengajian, Kolej Komuniti, Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan tiga program Skim Kemahiran dan Kerjaya 1Malaysia (SKK1M) dan satu program koloborasi strategik yang bernilai lebih RM165,000 sedangkan program itu tidak dilaksanakan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki tersebut akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, kedua-duanya akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28 Akta SPRM 2009.