SHAH ALAM - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa perkara yang dilaporkan sebelum ini berhubung konspirasi politik jahat yang dikenakan ke atas pemimpin parti itu dan Perikatan Nasional (PN) telah pun berlaku.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa ia terbukti dengan 'penganiayaan politik' terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menghadapi proses pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
"Pada 15 Februari lalu, wakil Armada Bersatu telah memfailkan laporan polis berhubung konspirasi politik jahat yang dikenakan ke atas pemimpin kami.
"Sasaran sebenar dan utama ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan tertinggi lain dalam Bersatu, Pas dan PN.
"Hari ini, apa yang Armada laporkan telah pun terjadi dengan penganiayaan politik (political persecution) terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan," katanya di Facebook pada Selasa.
Wan Ahmad Fayhsal turut memuat naik salinan laporan polis di Facebooknya yang memaparkan kandungan berhubung konspirasi politik jahat dan tohmahan palsu terhadap Muhyiddin, PN dan Bersatu.
Antara isi kandungan laporan polis itu bagi mengekang perbuatan jenayah dan salah guna kuasa untuk merosakkan nama Muhyiddin dan kepimpinan Bersatu selain memohon pihak polis menyiasat perkara berkenaan.
Pada Selasa, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta, tahun lalu.
Sementara itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa tindakan mengheret anggota parti terlibat dalam kes pertuduhan rasuah melibatkan Jana Wibawa seperti sesuatu yang 'dirancang' dan 'terancang'.
Beliau turut mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai 'dalang' rancangan untuk mengheret anggota parti terlibat dalam kes pertuduhan rasuah melibatkan Jana Wibawa.