ANKARA - Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 213 lagi di rawat di hospital selepas dua gempa bumi baharu menggegarkan selatan Turkiye pada malam Isnin, kata Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu.
Pasukan penyelamat kini berada di tiga lokasi bagi menyelamatkan enam mangsa yang terperangkap, kata Soylu kepada pemberita di Hatay, lapor Xinhua.
Gempa bumi masing-masing berukuran 6.4 dan 5.8 pada skala Richter berlaku hanya dua minggu selepas dua gempa kuat menggegarkan wilayah yang sama pada 6 Februari yang mengorbankan lebih 41,000 orang.
Gempa bumi pertama melanda daerah Defne di wilayah Hatay pada kira-kira 8.40 malam waktu tempatan (1704 GMT) dan gempa kedua berlaku tiga minit kemudian dengan pusat gempa di daerah Samandag di Hatay, menurut Pihak Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).
Datuk Bandar wilayah Hatay, Lutfi Savas memberitahu penyiar NTV tempatan bahawa gempa bumi terbaharu meruntuhkan beberapa bangunan dan beberapa orang terperangkap di bawah runtuhan.
"Cuaca sejuk. Ada penduduk pulang ke rumah mereka yang masih kukuh. Ada yang balik ke rumah untuk mengambil barangan mereka," kata Savas.
Gegaran itu turut dirasai di Syria, Jordan, Israel, Lubnan dan Mesir, lapor media tempatan.
Pada Isnin AFAD berkata lebih 6,000 gegaran susulan direkodkan sejak 6 Febuari.
Gempa bumi terbaharu melanda Hatay beberapa jam selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan melawat wilayah itu.
Erdogan yang meninjau misi mencari dan menyelamat di wilayah selatan Hatay dan Kahramanmaras berikrar akan memulihkan kembali wilayah berkenaan.
Kerajaan akan memulakan pembinaan 45,067 rumah di Kahramanmaras pada Mac dengan matlamat membina 200,000 rumah secara keseluruhan di 10 wilayah pada bulan yang sama. - Bernama