Saingan Cyclocross atau lebih dikenali dengan singkatan CX bakal dianjurkan buat julung kalinya membabitkan dua perlumbaan tempatan dan diakhiri satu saingan peringkat antarabangsa.
Perlumbaan berbasikal penuh mencabar itu bakal dianjurkan Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membabitkan 10 kategori.
Ketua Pegawai Pemasaran Cyclocross, Aman Tabarani berkata, CX adalah saingan yang membabitkan tiga disiplin utama berbasikal dalam satu masa iaitu basikal bukit, jalan berturap dan merentas halangan.
"Bagaimanapun, kali ini peserta CX di Malaysia berpeluang mempamerkan kemahiran mereka dengan menyertai tiga siri perlumbaan di Perak dan Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, peminat sukan berbasikal juga boleh merasai bahang kehangatan dan keseronokan dalam menyaksikan setiap pelumba mengerah keringat mengharungi halangan yang direka khas pada litar CX.
"Ia merangkumi halangan dengan bentuk permukaan semula jadi serta laluan teknikal yang pastinya mencabar dan memberi kepuasan kepada para peserta," ujarnya.
Dengan penganjuran tiga siri utama kejohanan ini, ia bakal membuka peluang kepada pelumba tempatan dan antarabangsa untuk mengambil bahagian selain menjadi salah satu acara promosi kepada sektor pelancongan melalui sukan di Malaysia khususnya negeri yang menjadi tuan rumah.
Siri 1 CX dijadual berlangsung di Kinta Riverfront, Taman DR Seenivasagam, Ipoh, Perak pada 11 hingga 12 Mac ini dan ia dianjurkan seiring dengan Hari Landskap Negara yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada hari sama turut diadakan acara sampingan seperti Unity Ride dan juga perlumbaan Criterium serta karnival selain acara-acara sampingan yang lain.
Penyertaan adalah terhad setiap kategori bagi acara perintis ini, dengan hanya 1000 peserta sahaja bakal beraksi untuk setiap siri penganjuran.
Peserta boleh mendaftar terus bagi kejohanan ini dengan melayari laman sesawang www.sports360.my atau www.bikeaway.com.my ataupun boleh berhubung secara langsung dengan sekretariat di talian 018-909 7203.
Bagi setiap siri kejohanan, 20 peserta teratas akan memperoleh mata kemenangan bagi melayakkan diri beraksi pada pusingan Grand Final.
Hadiah wang tunai keseluruhan bagi setiap siri perlumbaan berjumlah RM16,000 dan pemenang juga bakal menerima jersi bagi setiap kategori yang dipertandingkan.