SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah membuat laporan polis pada Jumaat selepas mengesan terdapat pihak menyalah guna logo agensi tersebut untuk tujuan penipuan atau scammer.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan penuh berhubung perkara itu.
Menurutnya, perkara itu dikesan apabila terdapat sebuah syarikat swasta tampil selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menggunakan kaedah tersebut.
Turut hadir, Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai salah guna logo MAIS bagi projek bantuan bakul makanan yang dikesan baru-baru ini.
Pada Jumaat lepas, MAIS memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak sama ada organisasi atau individu yang mengguna pakai logo atau memalsukan dokumen pihak berkuasa agama itu dengan sewenang-wenangnya.
Ia susulan aduan daripada sebuah syarikat swasta yang melaporkan menerima pesanan pembelian (PO) dan invois yang menggunakan kepala surat rasmi berlogo MAIS bagi tujuan mendapatkan dana projek pembekalan bantuan bakul makanan.
Abdul Aziz berkata, kegiatan scammer ketika ini membimbangkan apabila pelbagai kaedah digunakan untuk memperdaya orang ramai.
"Orang hendak menipu semakin canggih sehingga penipuan itu jika tidak diteliti dengan betul, kita tak boleh kesan.
"Dengan format, logo, nama dan nombor telefon, ia nampak seperti betul namun selepas disemak, MAIS tidak pernah buat begitu," katanya.
Ujarnya, scammer sukar dikesan kerana beroperasi di luar negara namun pihaknya sedia bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengelak lebih banyak kerugian ditanggung kesan aktiviti tersebut.