Mukhriz pernah nyatakan minat bekerjasama dengan PH: Mahfuz

Iklan
Gambar dari kiri: Mahfuz, Mukhriz

ALOR SETAR - Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pernah menyatakan minat untuk membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mengesahkan hasrat Mukhriz itu dinyatakan dalam pertemuan di ibu negara, dua bulan lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, bekas Ahli Parlimen Jerlun itu menyatakan minat untuk membincangkan lebih lanjut berhubung kemungkinan kerjasama berkenaan.

"Saya ada jumpa Mukhriz di Kuala Lumpur kira-kira dua bulan lalu, Mukhriz ada nyatakan hasrat beliau mengenai potensi kerjasama antara Pejuang dan PH Kedah,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Iklan

Mahfuz bagaimanapun menasihatkan agar bekas Menteri Besar Kedah itu membincangkan hala tuju kerjasama tersebut dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, namun terpulang kepada kepimpinan PH untuk memutuskan perkara itu kerana ia membabitkan kerjasama yang besar.

Iklan

Pada Ahad, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

Bagaimanapun, inti pati perbincangan antara dua pihak berkenaan belum didedahkan setakat ini memandangkan perbincangan tersebut hanya membabitkan lima pimpinan tertinggi Pas bersama Mukhriz.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Pengerusi PH Kedah turut mempelawa Mukhriz dan Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah untuk menyertai Amanah.

"Saya ada cadangkan juga kepada Mukhriz untuk sertai Amanah supaya mudah untuk berikan peluang kepada mereka sekiranya berpotensi untuk bertanding dalam PRN akan datang.

"Sehingga kini, mereka belum membuat keputusan berhubung tawaran itu," katanya.

Sinar Harian telah cuba menghubungi Mukhriz berhubung perkara sama, namun belum mendapat maklum balas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Gerakan Tanah Air (GTA) bertanding menggunakan logo Pejuang namun gagal memenangi sebarang kerusi meskipun meletakkan calon di 125 kerusi parlimen.

Keputusan itu menyaksikan semua pemimpin utama parti itu termasuk Mukhriz dan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempertahankan kerusi masing-masing di Parlimen Jerlun dan Langkawi.

Susulan prestasi hambar itu, Mukhriz mengumumkan Pejuang menarik diri daripada GTA, seterusnya menyebabkan Dr Mahathir dan 12 lagi pemimpin Pejuang meletakkan jawatan masing-masing dan meninggalkan parti.