Armada lapor polis dakwaan palsu, fitnah terhadap Muhyiddin

Iklan
Mohd Ashraf Mustaqim (tiga dari kanan) menunjukkan salinan laporan polis dibuatnya di IPD Kota Setar pada Selasa.

ALOR SETAR - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis berhubung fitnah jahat dan tohmahan palsu terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, pada Selasa.

Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, pelbagai tohmahan palsu dan fitnah jahat telah disebarkan sejak mula Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan untuk menutupi kepincangan mereka termasuklah memungkiri janji-janji manifesto pilihan raya serta gagal mengurus hal ehwal dan ekonomi negara.

Iklan
Iklan

"Fitnah ini juga dibuat demi tujuan politik untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam dan menyemarakkan keresahan rakyat terhadap Pengerusi PN, PN dan Bersatu.

"Konspirasi jahat ini dapat dilihat apabila Ahmad Zahid yang menghadapi lebih 40 pertuduhan di mahkamah mengumumkan bahawa kluster mahkamah yang baharu akan datang dari PN dan Bersatu.

Iklan

"Konspirasi ini juga terlihat apabila Anwar mengumumkan bahawa kerajaan di bawah Muhyiddin telah menyelewengkan RM600 bilion di bawah pakej rangsangan ekonomi," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Kota Setar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, nilai-nilai itu berubah sebelum timbul cerita menyatakan Muhyiddin dan Bersatu telah mendapat komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus daripada kontraktor-kontraktor untuk projek kerajaan hingga memberikan gambaran palsu bahawa PN dan Bersatu telah mendapat habuan RM4.5 bilion.

Iklan

"Terkini, timbul pula cerita Bersatu telah mendapat suapan sebanyak RM300 juta bukan dari pakej rangsangan ekonomi tetapi daripada kontraktor-kontraktor yang mendapat projek kerajaan lain. Semua cerita ini adalah palsu," katanya.

Dalam laporan polis itu, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, Perdana Menteri turut didakwa telah membuat ugutan terhadap Muhyiddin serta kepimpinan PN apabila Anwar pernah memberi peringatan kepada Muhyiddin agar jangan mencabarnya kerana kononnya terdapat proses dan prosedur tidak dipatuhi, selain ada beberapa syarikat berkepentingan atau berkaitan keluarga Presiden Bersatu itu terlibat.

Menurut beliau, Anwar juga pernah ‘menasihatkan’ Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan agar tidak bersikap gopoh kerana beliau Menteri Kewangan dan memiliki fail berhubung hal tersebut.

"Justeru, saya membuat laporan in untuk mengekang perbuatan jenayah dan salah guna kuasa oleh pemimpin kerajaan yang jelas mempergunakan agensi penguat kuasa untuk menyalah guna proses undang-undang bagi membawa 'kerosakan' terhadap Muhyiddin dan kepimpinan Bersatu," katanya.

Beliau menyifatkan, perbuatan mereka akan melumpuhkan demokrasi Malaysia dan amat bercanggah dengan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Mohd Ashraf Mustaqim berkata, beliau memohon pihak polis menyiasat perkara tersebut dan mendakwa pihak-pihak yang bersalah demi menjamin keamanan dan keselamatan negara.