PUSINGAN 1 Kejuaraan Cub Prix Petronas Malaysia bagi musim 2023 akan membuka tirainya di Litar Sepang hujung minggu ini.
Persaingan pasti semakin menarik kerana para pelumba sudah tidak sabar untuk memperagakan kehebatan masing-masing di gelanggang pertarungan selepas hampir dua bulan berehat sebaik berakhirnya saingan bagi edisi 2022 hujung tahun lalu.
Selain itu, keputusan pihak penganjur untuk menaikkan hadiah kemenangan dalam setiap kategori perlumbaan musim ini, bakal melonjakkan lagi semangat semua pelumba yang bersaing dalam kejuaraan itu nanti.
Setiap pelumba pastinya mahu mencatatkan nama sebagai pemenang kerana kejayaan yang bakal dicapai pada musim ini agak istimewa memandangkan kejuaraan Cub Prix tahun ini menyambut ulang tahun penganjurannya yang ke-30 tahun.
Kemeriahan di luar gelanggang perlumbaan juga tidak kurang hebatnya kerana program Cabutan Bertuah Happy Bag Cub Prix akan kembali dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik buat para pengunjung setia kejuaraan ini.
Program Happy Bag ini yang sentiasa menjadi tarikan di setiap pusingan Cub Prix di seluruh semenanjung, menawarkan hadiah utama berupa sebuah motosikal kepada pemenang bertuah di setiap venue perlumbaan tahun ini.
Sepuluh pusingan, 10 motosikal disediakan dan di setiap venue perlumbaan, pemenang hadiah utama cabutan bertuah Happy Bag ini bakal membawa pulang sama ada sebuah motosikal jenama Yamaha Y15ZR atau Honda RS-X.
Untuk menyertai cabutan bertuah itu, para pengunjung hendaklah membeli Happy Bag Cub Prix yang dijual di khemah promosi kejuaraan ini pada harga RM65.
Happy Bag tersebut mengandungi sehelai baju-T, minyak pelincir, baju hujan atau stiker dan paling penting kupon cabutan bertuah.
Bagi memberi kepuasan kepada para peminat Happy Bag ini, pihak penganjur telah berkolaborasi dengan syarikat pembekal baju-T terkemuka, HakkaClo bagi memastikan kualiti serta reka bentuk baju-T berkenaan memberi kepuasan kepada para pembeli.
HakkaClo merupakan jenama yang semakin digemari ketika ini kerana kualiti yang dihasilkan syarikat berkenaan memenuhi citarasa para pelanggannya.
Malah, HakkaClo merupakan pembekal jersi buat pasukan Sri Pahang yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (MFL).
Menurut Pengurus Pemasaran Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Yvonne Ng, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan HakkaClo tahun ini kerana mendapati kualiti produk yang dihasilkan syarikat berkenaan ketika ini semakin trending di pasaran.
"Kami yakin kolaborasi dengan HakkaClo ini akan memberi kepuasan kepada semua pembeli Happy Bag ini kerana kualiti baju-T yang dihasilkan sudah tidak perlu diragukan lagi.
"Kami juga mahu pastikan agar para pembeli setia Happy Bag Cub Prix ini mendapatkan barangan yang berkualiti tinggi,” jelas Yvonne.
Yvonne juga menjelaskan bahawa setiap pengunjung yang membeli dua Happy Bag bakal mendapatkan tiga kupon cabutan bertuah.
Maknanya, lebih banyak pembelian Happy Bag, maka peluang untuk memenangi hadiah utama adalah cerah.
Bagi HakkaClo pula, mereka menganggap kerjasama dengan pihak Cub Prix akan memperluaskan lagi jenama mereka dalam aktiviti sukan tempatan.
Selain menawarkan hadiah utama sebuah motosikal, hadiah-hadiah lain yang bakal dimenangi para pemenang cabutan bertuah Happy Bag ini nanti termasuk produk-produk keluaran syarikat KYT, Racing Boy, Uma Racing, Koyoko, Cardinals, SCK, NGK, RKM dan juga syarikat Corsa.
Jualan Happy Bag akan bermula pada saingan Pusingan 1 kejuaraan di Litar Sepang pada Sabtu ini dan para pemenang akan diumumkan keesokan harinya, (Ahad) pada pukul 5 petang.
Jadi, jangan lepaskan peluang ini dan pastikan anda membeli Happy Bag di khemah promosi kejuaraan Cub Prix Petronas Malaysia 2023 hujung minggu ini di Litar Sepang.
Hanya dengan harga RM65, anda mungkin membawa pulang hadiah luar biasa!