SEPANG - [DIKEMAS KINI] Setelah sebulan lebih berada di Malaysia, seorang remaja lelaki warga Bangladesh dihantar pulang ke negara asalnya.
Remaja berusia 16 tahun itu sebelum ini ditemui sangat lemah dalam sebuah kontena di atas sebuah kapal di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 17 Januari lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah menghubungi Kedutaan Bangladesh bagi membantu menyediakan dokumen perjalanan pulang remaja tersebut.
"Semua urusan berjalan lancar dan hari ini, remaja ini akan dihantar pulang dengan diiringi pegawai Kedutaan Bangladesh.
"Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menyelamat dan memberi penjagaan kepada remaja ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa proses penghantaran pulang remaja warga Bangladesh, Md Ratul Islam Fahim ke negara asalnya.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki warga Bangladesh ditemui dalam kontena yang dipercayai baharu tiba di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.
Berdasarkan siasatan awal, remaja itu dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari ia dibawa ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan.
Kapten kapal telah mengesahkan terdapat remaja dalam kapal kendalian beliau dan kes diklasifikasikan sebagai pengurusan penumpang gelap (stowaway).
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, keutamaan kerajaan Malaysia ketika itu adalah menyelamatkan nyawa mangsa biarpun remaja itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Kata beliau, bagi memastikan remaja malang itu mendapat rawatan, mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan seterusnya ditempatkan di Yayasan Chow Kit bagi urusan penjagaan.
Sementara itu, diminta mengulas lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini, Saifuddin berkata, perkara tersebut merupakan isu berterusan yang telah berlaku sekian lama.
Katanya, di bawah agensi kawal selia Jabatan Imigresen Malaysia, terdapat peruntukan jelas di bawah Akta Imigresen untuk mengambil sebarang tindakan mengikut kerangka undang-undang negara.
Bagaimanapun katanya, ketika beberapa sektor kritikal ekonomi memerlukan pekerja asing, KDN tampil dengan langkah rekalibrasi.
Jelasnya, tindakan itu bertujuan memudahkan warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen sah atau terlebih tinggal untuk memohon semula bekerja bertujuan memenuhi keperluan tenaga kerja di industri-industri memerlukan.
"Setakat 12 Februari lalu, proses rekalibrasi telah membawa kepada 145,000 kelompok warga asing ini mendaftar semula.
"Malah daripada pelaksanaan relaxation policy dan rekalibrasi, jumlah yang dicatatkan adalah sebanyak 380,000 iaitu mereka yang diberi kelulusan untuk membolehkan majikan membayar levi serta menguruskan visa.
"Jumlah ini dijangka meningkat sehingga April ini dan diharap ia dapat memenuhi keperluan di sektor-sektor kritikal iaitu keperluan sebanyak 518,000 orang," katanya.