Stadium Perak masih boleh 'beroperasi' seperti biasa

Iklan
Stuart Ramalingam

KES kecurian kabel lampu limpah hampir pasti tidak akan menghalang Perak FC daripada beraksi di laman sendiri dalam aksi pembukaan Liga Super 2023 menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC) di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya telah dimaklumkan kerja-kerja menggantikan kabel yang dicuri sedang dilakukan.

Iklan
Iklan

Beliau yang kesal dengan insiden kecurian kabel salah satu tiang lampu limpah di gelanggang keramat Perak itu memberitahu, MFL akan terus berhubung dengan Perak bagi memastikan segala isu dapat diselesaikan sebelum hari perlawanan.

"Kita (MFL) ada beberapa cadangan (pelan kontingensi) tetapi saya tak mahu timbulkan apa-apa spekulasi, keutamaan ialah untuk pastikan perlawanan itu dilaksanakan mengikut jadual sedia ada," katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan MFL dan Al Rajhi Banking & Investment Corporation di Kuala Lumpur pada Selasa.

Iklan

Minggu lepas, tular di media sosial beberapa keping gambar keadaan kotak kabel lampu limpah selepas berlaku kecurian, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong The Bos Gaurus yang bimbang perlu menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan kesayangan mereka pada sebelah petang.

Sepak mula Perak dan KDA FC dijadual bermula jam 9 malam.

Iklan

Pada masa sama, Stuart berkata, MFL juga sedang menunggu dokumen diperlukan berkaitan permohonan Terengganu FC (TFC) untuk menjadikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus sebagai gelanggang tuan rumah musim ini.

"Surat pihak ketiga iaitu dari kerajaan negeri yang diperlukan, akan dihantar dalam masa dua atau tiga hari lagi, saya rasa tiada masalah di peringkat TFC kerana mereka pun akan main dua perlawanan pertama di tempat lawan, jadi masih ada masa," katanya.

Ketika ditanya apakah isu sebenar berhubung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Stuart enggan menjawab dan menyerahkan kepada pengurusan TFC untuk mengulasnya.

Saingan Liga Super 2023 akan membuka tirai Jumaat ini, dengan perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan TFC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.