'Kelab' manakah bakal jadi pilihan KJ

Iklan
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama

SEKALUNG tahniah Merak Jalanan ucapkan kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau lebih dikenali dengan panggilan KJ atas kemenangannya bagi merebut jawatan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) baru-baru ini.

Kemenangan itu pastinya melegakan KJ. Apa tidaknya, jika tewas, ia sudah pasti 'mencalarkan' sedikit rekod yang sedang dibina bekas menteri kabinet itu sejak kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Iklan
Iklan

Malah, sejak dipecat daripada UMNO bulan lalu, Merak Jalanan lihat KJ tidak pernah pandang ke belakang. Sebaliknya, KJ tetap ligat melangkah ke depan sehingga gerak-gerinya kembali mendapat perhatian.

Merak Jalanan lihat KJ kini umpama 'pisang goreng panas'. Beberapa hari selepas dipecat daripada UMNO, KJ mula dapat banyak tawaran, bukan sahaja daripada parti politik malah akademik, perniagaan dan korporat.

Iklan

Buktinya, KJ kini sudah memulakan tugasnya sebagai DJ. Tak sampai sehari berada di konti radio, KJ disahkan menyertai 'keluarga baharu Johor Darul Ta'zim (JDT)' apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah kelab bola sepak itu dan Penasihat Belia Johor.

Sekarang yang menjadi pertanyaan dalam kalangan 'orang politik', ke mana hala tuju KJ? Apa pilihan terbaik yang akan dibuat bekas Ahli Parlimen Rembau itu jika beliau mahu terus berada dalam kancah politik tanah air.

Iklan

Jika sebelum ini KJ sekadar menjadikan kelab bola sepak sebagai satu analogi, sekarang ramai yang mula tertanya-tanya 'kelab' manakah yang akan disertainya nanti.

Ada beberapa 'kelab' sudah kemuka tawaran kepada KJ. Tidak mustahil juga mungkin ada 'kelab' sedang 'berkira-kira' mahu mendapatkan khidmatnya.

Apa sahaja 'kelab' pilihan KJ, Merak Jalanan percaya itu akan menjadi penanda aras baharu sama ada beliau akan terus kekal relevan dalam landskap politik tanah air atau sebaliknya.