Andalusia urus 15,000 jemaah umrah

Iklan
Ida Riswana antara calon yang akan memeriahkan Majlis Penganugerahan Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) pada Khamis ini.

SHAH ALAM - Pengalaman awal mengendalikan agensi pelancongan bukanlah satu perkara yang mudah apatah lagi ketika syarikat dibangunkan, teknologi perhubungan pada masa itu belum berkembang.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), Ida Riswana Idris berkata, pihaknya menggunakan buku panduan telefon Telekom Malaysia (TM) untuk mendapatkan pelanggan.

Iklan
Iklan

"Masa itu saya agak buntu, tidak tahu bagaimana cara untuk dapatkan pelanggan.

"Buku panduan TM itulah saya gunakan untuk merekodkan nombor telefon pihak yang boleh saya jadikan pelanggan.

Iklan

"Saya tidak ada masalah dalam hal berkaitan akauntabiliti kerana sebelum itu, saya mengendalikan firman guaman semenjak tahun 1993. Apa sahaja urusan keluar masuk duit telah saya pelajari,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, idea mengusahakan agensi pengendali umrah dan haji bermula selepas beliau melihat kesukaran jemaah menunaikan ibadah tersebut.

Iklan

"Masih ingat ketika kali pertama menunaikan umrah, saya lihat ramai jemaah yang menghadapi masalah dari segi penempatan yang tidak tetap dan berpindah randah.

"Saya mula terfikir, bagaimana cara untuk memudahkan urusan mereka. Dengan takdir ALLAH pada 2002, saya berjaya membeli sebuah syarikat yang mempunyai lesen pelancongan bagi urusan jemaah. Itulah titik mula saya dalam membawa kelainan terhadap pengendalian urusan umrah,” ujarnya.

Di awal penubuhan, agensinya akan menempah terlebih dahulu tiket penerbangan dan penempatan sebelum menawarkan sesebuah pakej kepada individu yang berminat.

Pihaknya tidak menggunakan konsep lama mencari pelanggan sebelum membuat tempahan tiket dan penginapan untuk mengelak sebarang masalah kepada jemaah.

Menyentuh mengenai perkembangan perniagaannya kini, Ida Riswana menzahirkan rasa bersyukur kerana Andalusia berjaya menguruskan lebih 15,000 jemaah umrah serta haji yang tertangguh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

Katanya, pengalaman ketika pandemik Covid-19 banyak mengajarnya untuk bersabar dalam mengusahakan perniagaan.

"Musibah tersebut memang mengajar kita bahawa tidak semua indah dalam kehidupan. Musibah telah mendidik kita untuk bergerak dengan lebih cemerlang dengan kerjasama pekerja,” tambahnya.

Andalusia yang memulakan perniagaan itu secara kecil-kecilan, kini mampu berbangga setelah mengembangkan 45 cawangannya di seluruh Malaysia.

Kejayaan itu juga bertitik-tolak kepada pendekatan syarikat yang turut menggunakan saluran media sebagai pencetus kepada konsep pemasaran dari semasa ke semasa.

Ida Riswana antara calon yang akan memeriahkan majlis penganugerahan Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) pada Khamis ini.

BISA memberi pengiktirafan kepada golongan usahawan dan syarikat yang telah berjaya memberikan impak besar kepada pemerkasaan dan kemampanan ekonomi negara.

Penganugerahan BISA merangkumi pelbagai sektor perniagaan seperti perkhidmatan, peruncitan, kepenggunaan, pendidikan, teknologi, kreativiti, inovasi produk dan banyak lagi.