ANAK kepada aktivis kulit hitam terkenal, Malcolm X yang dibunuh 58 tahun lalu, memfailkan notis untuk saman beberapa agensi penguatkuasa berhubung kematian bapanya.
Antara yang disenaraikan adalah untuk tindakan undang-undang itu termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Agensi Siasatan Pusat (CIA) dan polis New York.
Ilyasah Shabazz mendakwa, beberapa agensi persekutuan dan badan di bawah pihak berkuasa New York sengaja menyembunyikan bukti mereka terlibat dalam konspirasi pembunuhan Malcolm X.
"Kebenaran mengenai keadaan hingga membawa kepada kematian bapa kami bukan sahaja penting kepada keluarga kami, tetapi juga ramai pengikutnya, yang menjadikan beliau sebagai panduan.
"Harapan kami proses litigasi ini akan memberi jawapan kepada soalan yang tidak terjawab sebelum ini. Kami mahu keadilan ditegakkan untuk bapa kami," katanya.
Shabaz menuntut ganti rugi AS$100 juta.
Jabatan Polis New York dalam pada itu enggan mengulas proses perundangan yang masih berjalan.
Malcolm X raih populariti sebagai jurucakap gerakan pro Islam yang dikenali sebagai 'Nation of Islam'.
Beliau menghabiskan sedekad dengan gerakan itu, sebelum didakwa mula mengeluarkan kenyataan perkauman yang mengundang kontroversi.
Malcolm X ditembak tiga lelaki ketika bersedia untuk berucap di satu jelajah di New York pada 21 Februari 1965.
Selepas insiden itu, beberapa pihak mendakwa agensi kerajaan maklum mengenai rancangan pembunuhannya dan membiarkan ia berlaku.
Anggota Nation of Islam, Talmadge Hayer kemudian mengaku di mahkamah sebagai salah seorang lelaki yang menembak Malcolm X.
Pada 2021, hakim New York membatalkan sabitan ke atas dua lagi lelaki yang didapati membunuh Malcolm X. - Awani