KUALA PILAH - Wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang pada 19 Januari lalu ketika menunggu nombor giliran mengambil ubat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini ditemui selamat di Kuala Lumpur hujung bulan lepas.
Ibunya, Azizah Husin,56, berkata, bagaimanapun, keberadaan anak tunggalnya, Rabaah Laily, 33, yang merupakan OKU pekak dan bisu hanya dimaklumkan kepadanya pada 15 Februari selepas keadaan kesihatan anaknya itu stabil.
"Rabaah dijumpai oleh orang ramai pada 31 Januari lepas selepas didapati merayau-rayau tanpa hala-tuju di ibu negara sebelum diserahkan kepada pihak polis.
"Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut dan disebabkan keadaan kesihatannya ketika itu tidak stabil kerana sudah lama tidak makan ubat, menyukarkan pihak berkenaan mendapatkan maklumat peribadi daripadanya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jelas Azizah, ia berikutan anaknya itu menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol selain merupakan pesakit psikiatri.Justeru, sejak hilang keadaan kesihatannya terjejas.
Dalam pada itu, Azizah melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang turut membantunya mengesan anaknya itu dalam pelbagai platform sejak dilaporkan hilang.
"Mungkin dia naik bas ke sana dan dalam tempoh berkenaan ada yang bersimpati dengan menghulurkan makanan dan sebagainya walaupun keadaannya ketika itu mungkin sedikit gelisah sebab sudah lama tidak makan ubat," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superitendan Amran Mohd Ghani mengesahkan menerima laporan daripada wanita berkenaan berhubung kehilangan anak gadisnya itu pada 20 Januari lepas.
Menurut Amran, sebelum hilang, gadis itu yang berkulit putih dengan ketinggian 160 sentimeter dengan anggaran berat 74 kilogram memakai baju berwarna coklat belacan, seluar coklat, tudung coklat belang hitam dan kasut warna cerah.