GEORGETOWN- Kerajaan bakal membentuk satu jawatankuasa khas bagi mencari kaedah untuk mengurangkan kadar pengangguran golongan belia yang kini mencatatkan 10.7 peratus.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga berperanan untuk menilai semula tangga gaji yang dihadapi golongan tersebut.
Menurutnya, beliau telah membuat usul penubuhan jawatankuasa tersebut pada Mesyuarat Jemaah Menteri lalu untuk menyediakan sejuta peluang pekerjaan yang berkualiti bagi menunaikan manifesto PH dalam PRU14 lalu.
"Jawatankuasa ini berperanan menyediakan peluang pekerjaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, seperti apa yang dijanjikan. Ia sekali gus mampu untuk menurunkan kadar pengangguran golongan belia dari 10.7 peratus ke 'single digit'.
"Uniknya dalam jawatankuasa khas ini, ia bukan hanya diwakili jemaah menteri dan penjawat awam tetapi ia akan disertai tokoh korporat yang sekian lama mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan di negara ini.
"Sebab kita memerlukan sokongan korporat dan swasta dalam menjayakan usaha ini," katanya kepada media tadi.
Terdahulu, Syed Saddiq merasmikan Festival Anak Muda Pulau Pinang di Tapak Pesta Pulau Pinang, di sini tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, kajian oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bulan lalu, ia menunjukkan anak muda Malaysia mempunyai kebolehan dan tenaga kerja berkemahiran namun tersekat dengan tangga gaji yang statik.
"Masalah di negara adalah tangga gaji graduan muda bukan sahaja lulusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), ijazah sarjana muda atau sarjana muda, dah jadi statik sehingga hampir mencecah 20 tahun.
"Oleh itu, dengan bekerjasama dengan sektor korporat agar mereka berani untuk menaikan tangga gaji untuk anak muda. Dakwaan yang mengatakan anak muda malas dan meminta gaji yang tinggi, itu adalah salah.
"Kajian menunjukkan golongan ini bukan mahu gaji tinggi sehingga RM6,000. Mereka hanya mahu gaji yang setimpal. Tetapi sampai sekarang, tangga gaji masih statik.
"Oleh itu, dengan adanya jawatankuasa khas ini, isu-isu ini akan dibincangkan dan diselesaikan. Ini komitmen kita untuk bantu anak muda," katanya.
Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berharap sektor korporat terus memberi sokongan dan menyalurkan dana untuk pembangunan sukan elektronik (e-sukan) di negara ini.
"Kerajaan tidak pernah keluar satu sen pun dana untuk sukan ini yang mana ia kebanyakannya ditaja sektor korporat. Lebih mengejutkan, ia mendapat sambutan amat menggalakkan.
"Seperti sukan elektronik yang dianjurkan negara sebelum ini, semuanya ditaja sektor korporat dan kita berharap mereka dapat terus melaksanakannya," katanya.