KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Wan Saiful Wan Jan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), susulan kes mahkamah yang dihadapinya.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, hasrat itu telah dimaklumkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
"Berikutan pendakwaan bermotifkan politik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), saya mengambil keputusan untuk memohon Presiden dan seluruh Majlis Pimpinan Tertinggi membuat keputusan mengenai kedudukan saya sebagai Ketua Penerangan.
"Saya telah mencadangkan supaya jawatan ini digantikan oleh individu lain dalam parti. Ramai tokoh yang layak dan mampu menggalas tanggungjawab.
"Keputusan yang diambil ini sesuai dengan prinsip integriti dan perjuangan yang dijunjung selama ini. Tindakan ini juga membezakan saya dengan kluster mahkamah yang bermaharajalela dalam kerajaan PH dan BN hari ini,” katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Rakyat pada Rabu.
Jelas Wan Saiful, tindakan melepaskan jawatan eksekutif itu dibuat memandangkan beliau berpegang kepada prinsipnya selama ini, sehinggalah dapat membersihkan nama mengikut proses perundangan.
Justeru, beliau mengingatkan jangan ada mana-mana pihak yang cuba menyamakannya dengan individu lain dalam kluster mahkamah.
"Saya dengan suka hati, sukarela dan tanpa berbelah bahagi melepaskan jawatan ini sedangkan mereka (kluster mahkamah) mencari dan menggunakan jawatan eksekutif untuk kepentingan sendiri.
"Saya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya, mungkin dalam bentuk perundangan sekiranya ada pihak yang cuba memburukkan nama saya selepas ini,” tegas beliau.
Wan Saiful yakin, keputusannya itu akan memberikan kesan positif kepada Bersatu, membuktikan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) tidak teragak-agak dalam melaksanakan prinsip diperjuangkan dan tidak bermuka-muka dalam menggunakan jawatan demi kepentingan peribadi.
Pada Selasa, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta, tahun lalu.
Muhyiddin bagaimanapun mendakwa, tindakan mengheret anggota parti itu terlibat dalam kes pertuduhan rasuah melibatkan Jana Wibawa seperti sesuatu yang 'dirancang' dan 'terancang'.