KUALA LUMPUR – Kerja-kerja di tapak pembinaan bersebelahan dipercayai menjadi punca kerosakan struktur 'viaduct' dan 'pier' yang retak berhampiran stesen LRT Bandaraya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerosakan itu mengakibatkan penggantungan perkhidmatan di antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya sejak 27 Januari lalu.
Beliau berkata, ia berdasarkan hasil siasatan terperinci yang dijalankan oleh perunding kejuruteraan Arup Jururunding Sdn Bhd di bawah pemantauan sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada pihak Prasarana Malaysia Berhad, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Pihak Prasarana merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.
"Kami mengambil maklum kesukaran yang dihadapi oleh para penumpang dan kami memohon maaf di atas segala kesulitan," katanya dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat pada Rabu.
Jelas Anthony, kerja-kerja di tapak pembinaan berkenaan telah dijalankan tanpa sebarang perundingan dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367].
Bagi menyelesaikan masalah itu, Prasarana kini dalam proses melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih yang akan dimulakan pada awal bulan Mac dan dijangka akan mengambil masa sehingga tujuh bulan.
"Tempoh ini merangkumi dua bulan untuk kerja-kerja baikpulih sementara (temporaryworks) bagi mengukuhkan struktur dan lima bulan untuk kerja-kerja baikpulih secara menyeluruh.
"Kerja-kerja baikpulih tersebut akan mengambil masa kerana siasatan menunjukkan kerosakan kepada struktur yang terjejas menimbulkan risiko keselamatan yang amatserius," ujar beliau.
Prasarana juga katanya, akan mengambil langkah mitigasi bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan kepada para pengguna.
Apabila perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya dibuka sepenuhnya, pengguna Laluan Ampang/Sri Petaling akan mempunyai alternatif untuk ke pusat bandar melalui stesen-stesen pertukaran seperti Chan Sow Lin, Titiwangsa dan Sungai Besi.
Sementara kerja-kerja baik pulih dijalankan, perkhidmatan alternatif yang telah diperkenalkan sejak 27 Januari lalu termasuk perkhidmatan bas perantara, akan diteruskan.