'Adik-adik selalu tanya bila boleh ke sekolah?'

Iklan
Azma (kiri) bersama adiknya Ali (tengah) dan Syairi benar-benar berhasrat mahu bersekolah.

ALOR GAJAH - Ketika pelajar lain menjalani sesi persekolahan, tiga daripada lima beradik yang tinggal di sebuah kampung di Masjid Tanah, di sini, masih lagi memasang impian dan berharap dapat melakukan perkara yang sama.

Azma,15; Ali, 13 dan Syairi,10, (bukan nama sebenar) daripada lima beradik terpaksa menempuhi kehidupan sukar berikutan kelahiran mereka tidak didaftarkan akibat status yang didakwa sebagai anak tidak sah taraf.

Iklan
Iklan

Azma berkata, sejak dari kecil lagi dia dan dua adiknya itu tidak pernah dihantar ke sekolah oleh ibu mereka yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Pergi sekolah tadika pun tak pernah. Saya ada tanya ibu kenapa kami tak boleh pergi sekolah, ibu beritahu sebab tak ada surat beranak. Apa yang saya sedih, adik-adik selalu tanya bila boleh ke sekolah? Selalu saya akan jawab, sabarlah dik.

Iklan

"Mereka tanya setiap kali melihat budak-budak kampung lain berbaju seragam atau buat aktiviti merentas desa depan rumah. Memang boleh buat hati tersentuh kerana adik-adik mahu sangat ke sekolah.

Menurutnya, mereka kini banyak habiskan masa di dalam rumah sahaja sementara menunggu ibu dan dua abang pulang dari kerja kerana takut dipandang rendah orang lain hanya kerana mereka tidak bersekolah.

Iklan

"Jadi tinggal kami bertiga dengan atuk dan makcik. Kami bantu atuk bagi makan kambing, itik dan ayam. Kalau Ali rajin, dia akan pergi tangkap ikan haruan dalam parit dan dapatlah buat makan malam.

"Adik-adik juga jarang bergaul degan anak kampung yang lain kerana pernah diejek disebabkan tak bersekolah," katanya.

Sementara itu, ibu saudaranya, Norlela, 43, berkata, dia dan adiknya (ibu Azma) ialah warganegara Malaysia namun adiknya tidak mendaftarkan kelahiran anak-anaknya.

Rumah pusaka berusia 30 tahun yang didiami tiga beradik itu.

"Dulu saya dan adik pernah alpa dengan nikmat dunia, hingga melahirkan anak-anak seperti ini. Kami benar-benar menyesal dan berubah untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.

"Dua minggu lepas, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ada datang melawat. Saya harap sangat hak anak-anak saudara saya sebagai warganegara mendapat perhatian," katanya.

Menurutnya, dia yang tidak bekerja tinggal bersama dalam rumah pusaka yang semakin daif.

"Bumbung bocor, rumah pun habis kena makan anai-anai. Tak mampu nak tukar apa-apa pun, saya tak pandai meminta-minta dan anggap ini ujian ALLAH sahaja," katanya.

Selain itu kisah sedih anak-anak ini turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menghantar wakil turun padang menyantuni keluarga berkenaan.

Keadaan rumah pusaka uzur dan atap banyak yang bocor didiami dua keluarga itu di sebuah kampung di Masjid Tanah.