KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman denda RM3.92 juta terhadap lima tekong bot dan 40 nelayan asing Vietnam kerana menceroboh dan melakukan penangkapan ikan secara haram di perairan negara.
Hakim Noriah Osman menjatuhkan hukuman itu mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM6 juta membabitkan tekong dan RM600,000 membabitkan awak-awak.
Iklan
Iklan
Sekiranya gagal membayar denda, tekong dan awak-awak itu boleh dipenjara minimum selama empat bulan.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa menceroboh dan menangkap ikan secara haram pada kedudukan kira-kira 59 sehingga 135 batu nautika tenggara Kuala Terengganu pada tahun lalu.
Bot-bot berkenaan kemudian ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Gemia dan KM Pekan yang melakukan rondaan di perairan negara.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten (M) Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, keputusan dibuat oleh mahkamah itu merupakan kejayaan Maritim yang berterusan dalam mengekang pencerobohan nelayan asing Vietnam.
"Maritim Negeri Terengganu akan terus melaksanakan pemantauan dan operasi secara berterusan agar perairan negara tidak diceroboh dan hasil laut dirampas," katanya.