SEREMBAN - Kerajaan negeri akan memberi keutamaan khas kepada projek perumahan Residensi Seremban Sentral, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di sini bagi memastikan pemaju dapat menyiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Exco Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, pihak pemaju sepatutnya memberi makluman jelas berhubung masalah berlaku dan bukannya membiarkan pembeli terus tertanya-tanya.
"Alasan kelewatan projek itu disiapkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya boleh diterima, tetapi kini sudah dua tahun ia berlalu.
"Jadi tiada alasan lagi untuk pemaju melengah-lengahkan masa menyerahkan kunci kepada pembeli," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil pembeli di Wisma Negeri di sini pada Rabu.
Jelasnya, projek perumahan itu yang bermula pada 1 Oktober 2015 sepatutnya siap pada 30 September 2018, namun tertangguh beberapa kali.
"Kepada pemaju saya minta uruskan pusat khidmat pelanggan anda dengan baik. Layan pembeli dengan berhemah dengan memastikan ada kakitangan yang dapat dihubungi.
"Jika pembeli tiada platform untuk meluahkan perasaan mereka, bagi saya itu perkara mendukacitakan," katanya.
Tegasnya, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan akan memastikan projek itu dapat disiapkan pada tarikh baharu ditetapkan iaitu Jun tahun ini.
Katanya, pemaju juga diminta segera membuat permohonan lawatan Sijil Siap dan Pematuhan(CCC).
"Jika kesemua syarat dapat dipenuhi oleh pemaju, tiada masalah untuk semua agensi terlibat memberi kelulusan dalam tempoh terdekat," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sudah tiga tahun berlalu, namun lebih 100 pembeli apartmen berkenaan masih menagih janji pemaju untuk menyerahkan kunci rumah mereka.
Lagi menyedihkan, pembeli yang majoritinya kakitangan awam kini cukup terbeban kerana terpaksa menyewa rumah dan perlu membayar ansuran bulanan rumah itu.