PUTRAJAYA - Malaysia dan Arab Saudi bersetuju untuk segera memuktamadkan rundingan bagi menginstitusikan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia (SMCC), yang akan menjadi platform utama kerjasama dua hala pada masa hadapan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Zambry yang sedang melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi sehingga Khamis (23 Februari) berkata, isu itu merupakan topik perbincangan utama bersama rakan sejawatannya dari Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan pada hari kedua lawatan pertamanya ke negara itu.
Kedua-dua pihak, katanya, bersetuju untuk meningkatkan perdagangan dua hala yang baru-baru ini menyaksikan peningkatan mendadak.
"Kami juga bersetuju untuk meningkatkan lagi pertukaran lawatan pasca pandemik antara Malaysia dan Arab Saudi bagi mengukuhkan kerjasama dua hala daripada pelbagai aspek.
"Ini termasuk mencari ruang dan peluang melalui Visi 2030 Arab Saudi yang sememangnya merupakan agenda pembangunan yang sangat baik untuk diterokai bersama," katanya dalam satu kenyataan.
Zambry merakamkan penghargaan kepada Arab Saudi atas bantuan yang dihulurkan semasa Covid-19 serta keutamaan dan layanan istimewa yang diberikan kerajaan kepada Malaysia untuk urusan haji dan umrah.
"Insya-ALLAH kuota haji untuk Malaysia tidak akan dikurangkan dan berkemungkinan besar akan ditambah,” katanya.
Zambry menegaskan, Arab Saudi kekal sebagai sekutu rapat Malaysia dan Kerajaan Perpaduan bertekad untuk terus mencari jalan bagi memajukan hubungan istimewa ini.
Beliau percaya, pertemuan dengan Putera Faisal telah membuka lembaran baharu kepada hubungan kedua-dua negara, sambil menegaskan Arab Saudi kekal sebagai rakan karib Malaysia dengan Kerajaan Perpaduan yang komited untuk terus meneroka setiap peluang untuk membawa hubungan istimewa ini ke peringkat yang lebih tinggi..
Pentadbiran Arab Saudi juga telah menyatakan bahawa ia menantikan lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut kenyataan itu. - Bernama