IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang menunggu laporan lengkap daripada pihak pemaju perumahan berhubung dakwaan kejadian runtuhan cerun berhampiran kawasan perumahan Lahat Waterfront City di sini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya sudah meminta pihak pemaju membuat laporan secara terperinci pada Selasa dengan hasil laporan mengenainya akan diperoleh dalam masa terdekat.
"Ia (kejadian runtuhan cerun) membabitkan banyak perkara. Nanti kita akan maklumkan hasil laporan tersebut," katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah pelantikan Ahli Majlis MBI yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sandrea Ng Shy Ching pada Rabu.
Tular satu video berdurasi satu minit 11 saat seorang pemilik akaun TikTok yang mendakwa kejadian runtuhan cerun itu berlaku berhampiran kawasan perumahan dan berisiko kepada penduduk sekitar.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Hamdan Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh MBI bahawa pembangunan dan cerun berada di bawah seliaan pemaju perumahan.
"Pihak JKR Perak belum menerima sebarang permintaan daripada MBI untuk pandangan teknikal, disebabkan cerun itu di bawah pengawasan oleh pihak berkuasa tempatan iaitu MBI," katanya. - Bernama