Tiga rumah sedang diubah suai diarah berhenti kerja

Iklan
Dua pegawai CIDB Pulau Pinang memasang pita kuning di salah sebuah rumah yang menggunakan khidmat syarikat kontraktor tidak berdaftar dalam operasi bersepadu pada Rabu.

NIBONG TEBAL - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Pulau Pinang mengeluarkan arahan berhenti kerja terhadap syarikat kontraktor projek pengubahsuaian di tiga buah rumah di Residensi Merbok, di sini pada Rabu.

Tiga syarikat kontraktor tersebut melibatkan dua milik warga tempatan manakala satu dijalankan oleh warga asing.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Zahidi Hashim berkata, dua daripada syarikat tersebut tidak memperbaharui sijil perakuan pendaftaran kontraktor yang telah tamat tempoh manakala syarikat warga asing itu pula didapati tidak berdaftar dengan CIDB.

Selain itu katanya, dua daripada syarikat kontraktor itu menggunakan lima pekerja yang tidak memiliki kad pendaftaran personel binaan CIDB yang masih sah selain dua pekerja yang mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Iklan

Menurutnya, sebanyak sembilan notis dikeluarkan terhadap tiga premis tersebut kerana pelbagai kesalahan mengikut Akta 520 CIDB yang memperuntukkan kompaun antara RM10,000 hingga RM100,000.

"Dalam operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini (Rabu), kita menjalankan operasi pemeriksaan yang tertumpu kepada pengubahsuaian premis yang menggunakan khidmat syarikat tidak berdaftar.

Iklan

"Sementara satu lagi, pemilik rumah didapati telah mengupah warga asing yang tidak berdaftar dengan CIDB," katanya ketika ditemui selepas operasi bersepadu di sini pada Rabu.

Ketika operasi tersebut dijalankan, ketiga-tiga rumah tersebut tidak berpenghuni dan sedang diubahsuai oleh syarikat kontraktor yang dilantik.

Zahidi menambah, pemeriksaan mendapati, perakuan pendaftaran kontraktor ketiga-tiga syarikat tersebut telah tamat sejak 2018.

"Ketiga-tiga syarikat termasuk satu milik warga asing tersebut diberikan Notis N2 2015 iaitu kemukakan maklumat beberapa maklumat untuk membantu siasatan yang kedua pula Notis N14 2016 iaitu notis kesalahan pendaftaran kontraktor yang mana, ia melibatkan kesalahan perakuan pendaftaran kontraktor telah tamat tempoh.

"Notis ketiga adalah notis pemberhentian kerja pembinaan iaitu tapak pembinaan akan ditutup sehingga pihak kontraktor membantu kita dalam menyelesaikan kertas siasatan yang akan dibuka.

Seorang pekerja warga asing (kiri) disoal oleh pegawai CIDB Pulau Pinang dalam operasi pada Rabu.

"Sementara itu, bagi syarikat yang menggunakan pekerja yang tidak memiliki kad pendaftaran personel binaan CIDB yang masih sah pula, kita akan ambil tindakan terhadap majikan dan pekerja itu sendiri," katanya.

Jelas beliau, kerja-kerja pengubahsuaian di ketiga-tiga rumah tersebut dipercayai bermula sejak September tahun lalu.

Mengulas mengenai kesan apabila pemilik rumah mengupah syarikat kontraktor yang perakuan pendaftaran kontraktor telah tamat tempoh, Zahidi berkata, kesemua risiko yang bakal berlaku perlu ditanggung oleh pemilik rumah itu sendiri.

"Ada beberapa kesan antaranya jika kita menjalankan operasi, kerja yang dijalankan akan diarahkan berhenti. Ini bermakna, kerja pengubahsuaian akan terganggu. Selain itu, sebarang risiko juga perlu ditanggung pemilik rumah.

"Sebarang aduan yang diterima, kita tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kerana individu dan syarikat yang mereka upah, tidak berdaftar dengan CIDB," katanya.

Tambah beliau, sebanyak 6,250 syarikat kontraktor berdaftar yang aktif di Pulau Pinang yang mana, lebih 3,000 daripadanya menjalankan nilai pengubahsuaian di bawah RM200,000.

"Saya menasihatkan semua pemilik premis atau rumah supaya mengupah kontraktor yang berdaftar agar tidak menghadapi masalah di kemudian hari.

"Banyak syarikat kontraktor yang berdaftar di negeri ini, oleh itu, tiada alasan untuk mereka mengupah kontraktor tidak berdaftar untuk menjalankan kerja pengubahsuaian di premis atau rumah mereka," katanya.