ALOR SETAR - Menyedari peningkatan kos sara hidup ketika ini yang semakin menghimpit golongan kurang berkemampuan, pasangan suami isteri di Simpang Empat di sini merintis inisiatif menyediakan makanan percuma kepada orang ramai.
Pasangan Jaffri Ahmad, 59, dan Mazlina Makaruddin, 59, mengambil inisiatif membuka 'Rumah Makan Percuma' (RMP) untuk memberi makan tengah hari kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama dan status.
Menurut Jaffri, yang juga Presiden Bismi Empire, idea untuk mengasaskan RMP tercetus selepas beliau pulang daripada menunaikan umrah di Tanah Suci.
Katanya, melihat masyarakat dari seluruh dunia berlumba-lumba memberi makanan percuma kepada jemaah di Makkah menjentik kesedaran kepada beliau untuk melakukan perkara yang sama sekembali ke tanah air.
Beliau berkata, ditambah dengan kesan pandemik Covid-19 sebelum ini mengakibatkan ramai mereka yang terkesan menyebabkan beliau Jaffri dan isteri mengusahakan RMP
Jaffri berkata, pada permulaan mereka menyediakan makanan untuk 200 orang dan jumlah itu kini telah bertambah kepada 500 orang setiap hari.
"Pada awalnya lagi kami sudah memikirkan benda-benda yang selalu terlintas iaitu siapa yang nak datang makan... berdebar juga menunggu hari pertama bila kami lancar Rumah Makan Percuma ini.
"Tidak ada gunanya kami buat persediaan, buat menu istimewa untuk memberi makan tetapi tak ada orang yang nak datang makan, tetapi Alhamdulillah pada hari pertama pembukaannya, penyediaan kita untuk 200 orang makan habis dan ini menguatkan kami untuk menyediakan lebih banyak makanan percuma setiap hari,” jelas Jaffri.
Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, setiap pekerjaan mesti ada risikonya, namun, baginya semua itu alah tegal tinggal biasa.
Beliau berkata, dalam melakukan kerja-kerja amal ini, apa yang penting baginya ialah kepuasan tatkala melihat perut insan yang datang pulang dengan kekenyangan dan mengukir senyuman.
Dalam masa sama, Jaffri sangat bersyukur dan terharu kerana sejak RMP beroperasi pada 2001, ada saja pihak yang bersama-sama beliau menghulur bantuan dengan menyumbang beras, sayur, minuman dan kuih-muih.
"Walaupun kos itu meningkat tetapi kami bersedia menghadapi apa sahaja rintangan atau kos sebab apa yang sering saya fikirkan rezeki ALLAH bagi sebenarnya ada bahagian-bahagian untuk mereka (golongan kurang berkemampuan),” terang beliau lagi.
Program ini tidak akan berjalan tanpa tukang masak yang akan menyediakan makanan setiap hari.
Bagi tukang masak Azura Zainol, 49, antara menu yang lazimnya disediakan di RMP ialah nasi putih, ayam dan sayur pelbagai jenis masakan serta air.
Menu-menu di RMP juga, kata Azura, akan berlainan setiap hari.
Dia yang berpengalaman mengendalikan dapur di sebuah hotel sebelum ini tidak langsung kekok atau payah untuk masak dengan kuantiti yang banyak.
"Puas bila tengok orang makan... siap bertambah (bermakna) depa (mereka) puas hati. Menu utama adalah ayam dan terpulang pada saya nak masak macam mana (resepi) selain sayur dan sambal belacan wajib (disediakan) dengan ulam-ulam setiap hari... menu bertukar-tukar setiap hari sesekali ada juga (menu) daging atau ikan disediakan,” kata Azura.
Sementara itu, pengunjung yang menikmati makanan percuma itu bersyukur dan berterima kasih kepada insan yang pemurah seperti pasangan Jaffri dan Mazlina yang sanggup menjamu setiap hari.
Rata-rata mereka ditemui datang bersama keluarga dan ada juga yang datang bersendirian terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan bangsa. - Awani