KOTA BHARU – Semua pihak perlu mengembleng tenaga untuk mencegah dan mengawal gejala sosial seperti penagihan dadah dan pengambilan pil kuda melibatkan rakyat negeri ini.
Pengerusi Tetap Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan, Ir Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni berkata, peningkatan kes-kes penagihan yang mendadak mutakhir ini amat membimbangkan.
"Angka yang dipersembahkan oleh pihak PDRM ini jika dilihat daripada persepsi penguatkuasaan, ia adalah satu KPI yang membanggakan oleh PDRM dalam melaksanakan kerja-kerja pembasmian pil kuda.
"Namun, jika dilihat daripada persepsi musibah yang melanda, rakyat Kelantan perlu sedar bahawa bencana ini jika tidak ditangani bersama, akan merugikan generasi akan datang.
"Potensi anak-anak muda yang boleh dijadikan modal insan yang dinamik untuk membangunkan negeri secara progresif akan terbantut dengan sendirinya,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau diminta mengulas mengenai pendedahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkaitan kes penagihan dadah dan pil kuda di negeri ini yang boleh diibaratkan seperti ‘Gedung Pil Kuda’, semalam.
Menurutnya, jika dulu seorang penagih setiap kampung, tapi kini nisbahnya berubah menjadi satu keluarga satu penagih dan ini merupakan satu mimpi ngeri kepada rakyat di bumi Serambi Mekah ini.
Beliau yang juga Pengerusi Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan memberitahu, jolokan Serambi Mekah yang dimurnikan dengan tumbuh suburnya pondok-pondok pengajian agama dan hafalan al-Quran di seluruh negeri sedang diancam dan dijelikkan dengan wabak pil kuda ini.
"Seharusnya, kemurnian jolokkan ini perlu dijaga oleh semua pihak supaya agama dan budaya negeri Kelantan terjaga sebaiknya. Selain usaha giat yang dijalankan oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PDRM, pihak-pihak lain yang mempunyai kuasa dan pemegang taruh dalam komuniti perlu bergerak bersama untuk membasmi ancaman pil kuda.
"Institusi keagamaan dan kemasyarakatan di kampung-kampung perlu diperkasakan dengan kesedaran untuk turut sama menjadi pro aktif dan bukan hanya mengambil sikap tunggu dan lihat.
"Pemerkasaan ini mungkin boleh dilakukan melalui ceramah-ceramah agama dan khutbah-khutbah Jumaat di seluruh negeri secara berkala.
"Masjid umpamanya boleh dijadikan pusat-pusat kaunseling bagi individu-individu atau keluarga-keluarga yang menjadi mangsa penagihan pil kuda.
"Latihan kepada para petugas yang terlibat pula perlu diberikan secara tersusun dan sistematik supaya urus tadbir kerja-kerja pembasmian ini tidak dilihat seperti melepaskan batuk di tangga.
"Tanpa kekuatan kerohanian pada diri bakal penagih dan penagih itu sendiri, sindiket pil kuda akan mudah mempengaruhi mereka.
"Ditambah pula, faktor kemiskinan dan peluang pendidikan yang terhad kerana kemiskinan dan kurangnya kesedaran tentang pentingnya pendidikan, pengaruh sindiket pil kuda mudah meresap dalam masyarakat,” katanya.
Meor berkata, oleh sebab itu semua pihak harus bekerjasama dan tidak boleh ada yang masih berpeluk tubuh dan mengambil sikap tunggu dan lihat kerana natijah yang buruk bakal melanda generasi yang akan datang.