KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong mencuri tumpuan Dewan Rakyat pada Rabu apabila membawa telur ayam semasa mengutarakan isu kekurangan stok telur.
Beliau bangun mencelah pada sesi menteri-menteri menjawab perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dan menunjukkan tiga biji telur untuk membuat perbandingan.
"Dalam konteks ini, saya bawa telur dari India, saya beli 50 sen. Ini adalah telur Malaysia (sambil menunjukkan telur tempatan) yang harganya dikawal, 35 sen dan 45 sen ini.
"Kita dapat lihat beza saiznya. Telur dari India harga 50 sen tapi lebih kecil dari telur Malaysia. Ini kekurangannya. Kalau kata telur Omega ni, telur kampung, 76 sen.
"Orang kaya, orang berada boleh beli tapi inilah puncanya nak bantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (tunjuk telur Malaysia) khususnya orang Melayu untuk jual kuih,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan masih memberikan subsidi sebanyak 10 sen untuk sebiji telur ayam sehingga Jun depan.
Selepas tempoh tersebut, satu kajian akan dibuat sama ada kerajaan akan meneruskan subsidi berkenaan atau sebaliknya.
"Kita juga meneruskan dialog dengan penternak ayam dan pengeluar telur di Selangor dan akan ke negeri-negeri lain.
"Mereka beri jaminan bahawa dengan perubahan suasana yang belaku, mereka boleh berusaha mencukupkan bekalan," jelasnya.