Kerajaan tidak berhasrat mansuh SOSMA

Iklan
Saifuddin Nasution

SHAH ALAM - Kerajaan tidak berhasrat memansuhkan atau mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana undang-undang keselamatan sedia ada di bawah tanggungjawab kementerian masih relevan dan penting bagi memelihara ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada ketika ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan undang-undang tersebut agar tindakan segera boleh diambil bagi mengelakkan sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, SOSMA merupakan undang-undang berbentuk prosedur yang digunakan untuk kesalahan-kesalahan keselamatan spesifik dan telah diperincikan dalam Jadual Pertama SOSMA 2012.

"Walaupun begitu, kementerian komited menambah baik undang-undang itu bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara, namun ia harus diimbangi dengan hak masyarakat serta kepentingan dan ketenteraman negara.

Iklan

"Pihak berkepentingan termasuklah pertubuhan bukan kerajaan, pakar akademik, komuniti dan sebagainya akan dilibatkan dalam sesi pengumpulan maklum balas terhadap cadangan penambahbaikan berkenaan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan P Prabakaran (PH-Batu) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sebelum ini, Prabakaran meminta penjelasan daripada Saifuddin berhubung hasrat kerajaan untuk memansuhkan atau mengkaji semula akta SOSMA dalam Dewan Rakyat.

Iklan

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan, setakat ini tiada sebarang ketetapan dasar atau arahan yang diterima berhubung hasrat kerajaan untuk mengkaji semula hukuman bagi sesuatu kesalahan sama yang melalui prosiding mahkamah pada waktu sama tetapi hukuman yang dijatuhkan berjalan berasingan.

"Kajian secara menyeluruh hanya akan dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan semua pihak dan perlu diterajui oleh kementerian/agensi yang diberikan mandat dan kuasa berkaitan perkara ini," menurutnya.

Sementara itu, beliau berkata, Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) (Akta 839) akan mula berkuat kuasa mulai 1 Julai depan.

Katanya, pada masa ini, kementerian sedang menunggu kelulusan perjawatan dan peruntukan daripada agensi pusat bagi penubuhan suruhanjaya berkenaan.

Selain itu, mengulas mengenai status anggota PDRM dilengkapi peralatan kamera badan serta perbelanjaan untuk aspek tersebut, beliau berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk perolehan 'Body Worn Camera' (BWC) di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Tahun 2021 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi kegunaan penugasan harian anggota PDRM.

Jelasnya, BWC akan digunakan oleh anggota PDRM yang bertugas di lapangan terutama bagi Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal Polis (URB) serta rondaan jalanan polis di 157 buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara.

"Sejumlah 7,648 unit BWC dirancang untuk diperolehi dengan anggaran harga di antara RM2,000 hingga RM2,500 seunit," jelasnya.