SHAH ALAM - Pas menggesa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memberikan implikasi negatif kepada Islam berhubung isu perarakan pakaian dan replika warisan Islam anjuran Dewan Pemuda PAS Terengganu.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya mendakwa, isu ini kelihatan sengaja dibesar-besarkan tanpa sebarang sebab yang kukuh secara tidak langsung menyemai benih Islamofobia dalam negara.
"Walhal jika diteliti program tersebut secara menyeluruh, ia sekadar perarakan yang meletakkan tema pakaian dan replika warisan Islam.
"Perkara tersebut tidak sepatutnya berbangkit kerana soal pakaian dan replika pedang warisan Islam yang digunakan adalah mengikut tema perjuangan jihad Rasulullah,” katanya melalui hantaran Facebook pada Rabu.
Tambahnya, perarakan tersebut tidak dapat dizahirkan niat dan tindak-tanduk yang boleh disabitkan dengan sebarang bentuk perlakuan jenayah atau menggugat ketenteraman awam.
"Adakah sebarang bentuk imej Islam akan turut dikaitkan dengan keganasan sebagaimana tuduhan Islamofobia yang berlaku di Barat saban masa.
Dalam pada itu, Ahmad Yahaya berkata, terdapat golongan tegar yang mengkritik perarakan tersebut termasuk umat Islam yang terikut dengan rentak musuh.
"Mereka diam ketika adanya himpunan pengganas komunis. Mereka diam ketika golongan LGBTQ membanjiri ibu negara untuk berhimpun. Mereka juga diam ketika program Nijigen Expo yang juga menggunakan cosplay dengan replika senjata tajam.
"Adakah PH juga mahu imej Islamofobia turut dihalakan terhadap Islam,” soalnya.
Beliau turut menzahirkan kesedihan apabila kepimpinan PH seolah-olah memberi gambaran agama Islam bersifat ekstrem dan bahaya.
"Malang sekali jika permusuhan politik yang tidak bersempadan sehingga akhirnya merosakkan wajah Islam khususnya di mata masyarakat bukan Islam,” katanya.