AEON Big (M) Sdn Bhd secara rasmi menjadi penaja eksklusif Liga Malaysia bagi musim 2023.
Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed bersama Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam di AEON BiG Wangsa Maju, di sini pada Selasa.
Sheikh Farouk berkata, kolaborasi kali pertama dengan MFL dilihat mampu menyatukan AEON BiG dan sukan paling popular di negara ini.
"Melalui kerjasama ini juga, ia membantu dari segi promosi dan pengalaman baru kepada pelanggan," katanya pada sidang akhbar selepas pada majlis Pengumuman Rakan Rasmi Baharu Malaysian Football League 2023 di sini.
Turut hadir, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.
Sementara itu Stuart berkata, kerjasama dengan syarikat dan pasar raya besar seperti AEON BiG mampu menaikkan taraf liga bola sepak tempatan.
Jelasnya, bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini, justeru pihaknya mengalu-alukan sokongan AEON BiG terhadap Liga Malaysia.
"Kehadiran AEON BiG ini juga memberi peluang rakan penaja MFL bekerjasama dalam ekosistem peruncitan.
"Tahun 2023 ini bukan sahaja membawa perubahan format liga tetapi juga membawa perubahan dari segi komersial MFL," kata Stuart.