PENAMPILAN Pasukan MIE Racing dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2023 yang melibatkan perlumbaan 12 pusingan mendapat suntikan semangat dengan penyertaan Petronas.
Malah pemilik Pasukan MIE Racing, Midori Moriwaki menyifatkan kerjasama dengan Petronas itu merupakan satu kebanggaan untuk pasukan yang akan dikenali Petronas MIE Racing Honda.
"Ia adalah sumber kebanggaan dan kepuasan sebenar untuk Pasukan Honda MIE Racing apabila dapat bekerjasama bersama Petronas untuk beberapa tahun ke depan.
"Kami juga berharap dapat mengembangkan kehadiran pasukan dalam kejuaraan WSBK dan pasukan SuperSport kami secara bersama,” kata Midori dalam laman Facebook pasukan pada Khamis.
Petronas MIE Racing Honda dijangka mengambil bahagian dalam kempen WSBK mempertaruhkan penampilan tahun kedua pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah.
Seorang lagi pelumba negara Adam Norrodin, 24, pula akan menggalas cabaran buat pertama kali di WorldSSP bagi kalendar kejuaraan kali ini.
Untuk rekod, WSBK 2023 akan menyingkap tirai di Litar Phillip Island, Australia bermula dari 24 hingga 26 Februari.
Pusingan kedua pula dijadualkan di Litar Mandalika, Indonesia pada 3 hingga 5 Mac depan diikuti sembilan pusingan seterusnya di Eropah dan Amerika Selatan dari April sehingga Oktober.