Perdana Menteri hantar notis tuntutan kepada Awang

Iklan
Dari kiri: Anwar, Awang

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, berhubung kenyataan yang menuduh beliau berdendam lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad dan mengamalkan pendakwaan berpilih.

Dakwaan Awang itu berkait dua pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersat, Datuk Wan Saiful Wan Jan, di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.

Iklan
Iklan

Firma guaman, Tetuan S N Nair dan Partners yang mewakili Anwar berkata, Perdana Menteri juga menuntut bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu menarik balik kenyataan fitnah secara umum itu dan berjanji tidak akan mengulangi dakwaan itu lagi.

"Anak guam mengarahkan kami untuk menuntut ganti rugi substantif daripada Yang Berhormat (Awang) kerana merosakkan reputasinya. Anwar menuntut daripada Yang Berhormat pembayaran semua kos guaman yang berbangkit daripada perkara ini.

Iklan

"Notis ini ditulis selaras dengan protokol pratindakan sebelum permulaan tindakan saman fitnah. Kami menunggu maklum balas Yang Berhormat tanpa apa-apa kelewatan.

Mengulas mengenai tuduhan rasuah terhadap Wan Saiful, Awang dilaporkan berkata 'kalau inilah permulaan PM, dia adalah perdana menteri paling teruk di Malaysia. Malah Dr Mahathir yang dikatakan zalim pun tak (sezalim itu) setakat ini.'

Iklan

Malah, Awang juga mendakwa sifat balas dendam Perdana Menteri sangat kuat dan sangat pendendam. Dalam LOD sama, peguam Anwar berkata kenyataan dibuat Awang adalah tidak benar, membebankan, mengelirukan dan tidak munasabah serta berniat jahat.

Awang turut menggesa Anwar tidak pilih kasih dengan mengambil tindakan pendakwaan secara terpilih dan kes membabitkan dakwaan serius seperti kapal tempur pesisir (LCS) sepatutnya perlu didahulukan.

Firma guaman itu mendapati kenyataan Ahli Parlimen Pendang itu adalah tidak benar, menyusahkan, pelik, mengelirukan, tidak wajar, cuai, disengajakan dan berniat jahat yang bertujuan merendahkan maruah serta mendedahkan Anwar kepada kebencian awam.

Kenyataan itu juga didakwa bermotifkan politik serta untuk menggagalkan matlamat dan komitmen Perdana Menteri dalam mewujudkan tata kelola pentadbiran kerajaan yang baik dan telus bagi mendukung aspirasi Malaysia Madani.

"Anak guam (Anwar) tidak pernah campur tangan dalam bidang kuasa penyiasatan agensi penguat kuasa di Malaysia dan oleh itu tidak mengamalkan apa-apa penyiasatan terpilih seperti yang dituduh secara melulu oleh yang berhormat.

"Beliau juga tidak pernah mengarahkan atau mencampur tangan dalam bidang kuasa peguam negara untuk melakukan apa-apa pendakwaan terpilih terhadap mana-mana pihak dan menghormati dan mendukung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang di bawah Rukun Negara.

"Semua badan penyiasatan dan pendakwaan bertindak secara bebas dan apa-apa cubaan untuk mencadangkan yang sebaliknya adalah tindakan melontarkan satu tuduhan yang amat serius terhadap reputasi dan integriti anak guam secara persendirian dan sebagai perdana menteri," katanya.