PADANG TERAP - Dua lelaki dipercayai membawa daun ketum ditahan selepas cuba melarikan diri dengan sebuah pacuan empat roda di kawasan Durian Burung, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand dalam kejadian jam 1 tengah hari.
Disebabkan itu, Mulkiaman memaklumkan, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang melakukan rondaan bermotosikal bertindak mengekori kenderaan suspek.
"Anggota ATM telah mengarahkan pemandu kenderaan terbabit untuk berhenti, bagaimanapun pemandu terus memecut.
Beliau berkata, daun ketum didapati bertaburan ketika kenderaan terbabit terbabas, manakala kedua-dua suspek warga tempatan itu cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan anggota ATM terlibat.
"Akibat kemalangan itu, salah seorang suspek mengalami cedera di kaki dan seorang lagi luka di kepala sebelum dibawa ke Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk rawatan," katanya.
Menurut Mulkiaman, kedua-dua suspek kemudiannya ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.
Beliau memaklumkan, polis kini masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat lokasi daun ketum itu diperoleh dan tempat penghantarannya.