TERDAPAT dua lagi pasukan yang belum melengkapkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain import sebelum jendela perpindahan pemain pertama Liga Malaysia (Liga-M) 2023 ditutup pada Khamis.
Tanpa mendedahkan pasukan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, kedua-dua pasukan itu masih dalam fasa penilaian akhir sebelum menandatangani pemain import yang diperlukan.
"Saya rasa itu satu langkah yang baik untuk pastikan pemantauan dan pemilihan pemain import dilaksanakan dengan lebih rapi,” katanya pada majlis pengumuman perjanjian MFL dengan AEON BiG (M) Sdn Bhd sebagai penaja eksklusif 'pasar raya besar' bagi musim 2023.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan tidak semua pasukan melengkapkan kuota sembilan pemain import yang dibenarkan MFL buat musim baharu ini.
Menurutnya, tindakan diambil pasukan yang tidak menggunakan sepenuhnya kuota ditetapkan untuk pemain import dilihat sebagai indikasi baik khususnya terhadap perbelanjaan yang dikeluarkan pasukan pada musim ini.
"Saya lihat semua pasukan telah tunjukkan perbelanjaan atau operasi yang baik untuk pastikan penggunaan pemain import ikut keperluan pasukan mereka,” katanya.
Stuart pada masa sama juga berharap agar kesemua perancangan dilakukan pihaknya dan rakan penyiar menjelang saingan Liga Super 2023 yang membuka tirai Jumaat ini dengan perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, berjalan lancar.
Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila AEON BiG berkongsi misi sama dalam memperluaskan lagi rangkaian promosi dua hala antara syarikat pasar raya besar terkemuka itu dan liga bola sepak tempatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berharap tempoh perjanjian penajaan bersama badan pentadbir Liga-M selama semusim itu akan berlanjutan melangkaui musim 2023.
"Melalui penajaan ini, kami ingin berada lebih dekat dengan pelanggan kami melalui bola sepak kerana tiada cara yang lebih baik dalam menyatukan rakyat kecuali menerusi sukan,” katanya tanpa mendedahkan nilai kerjasama itu.
Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan pula berkata, kehadiran AEON BiG memberi isyarat cukup baik buat Liga-M yang mengorak langkah musim ini dengan beberapa pembaharuan bagi meningkatkan kualitinya terutama dari segi pertandingan dan komersial.