SHAH ALAM - Lebih 30 pemenang Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang terdiri daripada usahawan tempatan bakal diumumkan pada malam gala penganugerahan di DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City malam ini.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, proses pemilihan pemenang mengambil masa hampir setahun untuk mengumpul, menganalisis, berbincang dan memilih calon yang sesuai.
Paling penting ujarnya, pemenang merupakan usahawan yang telah berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk berkembang serta bertahan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Ini termasuk membantu dari segi menyediakan peluang pekerjaan dan memperkenalkan inovasi baharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau mengakui teruja dan berbangga dengan sambutan menggalakkan yang diterima daripada pemain industri tempatan.
Nik Justin turut menjangkakan penganjuran BISA yang bakal diangkat sebagai acara tahunan berupaya mengubah landskap industri PKS tanah air.
Ujarnya, Sinar Harian mengambil tanggungjawab sebagai pemangkin dan menyediakan platform untuk semua pemain industri, agensi dan usahawan bersama-sama berganding bahu dalam usaha memantapkan lagi ekonomi negara.
"Pada awalnya, kita nak mengiktiraf usahawan tempatan berjaya, tetapi siapa sangka apabila BISA mula dilaksanakan, kami mendapat sokongan yang luar biasa daripada pemain industri.
"Dalam masa setahun, kita bukan setakat berjaya mengumpul usahawan untuk menjayakan anugerah ini, tetapi juga dapat bersama-sama dengan pemain industri termasuk badan korporat dan agensi kerajaan.
"Malah kita juga dapat melahirkan satu ekosistem PKS yang sihat dengan Sinar Harian menjadi platform utama menghubungkan kesemuanya. Itu adalah satu perkara yang amat bermakna,” jelasnya.
Nik Justin memberitahu, malam gala penganugerahan itu dijangka dihadiri lebih 300 tetamu jemputan melibatkan usahawan, pengasas dan pempengaruh.
Kata beliau, majlis anugerah yang bermula jam 8 malam itu akan dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai tetamu kehormat.
Beliau berkata, tetamu dan penonton bakal dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada legenda rock tanah air dan pelakon popular, Datuk Awie serta pelawak dan pengacara, Douglas Lim.
Orang ramai dijemput untuk menyaksikan anugerah tersebut secara langsung menerusi pautan bisaawards.sinarharian.com.my dan di semua platform digital Sinar Harian.
"Menariknya, penonton juga berpeluang menonton acara karpet merah, di sebalik tabir, sesi temu bual bersama usahawan dan pelbagai aktiviti yang akan berlaku sebelum majlis melalui platform dalam talian bermula seawal jam 7 malam.
BISA bantu perkasa usahawan tempatan
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, BISA berupaya mengangkat ekosistem perniagaan mikro serta industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.
Anugerah yang julung kali diadakan itu juga menjadi titik permulaan buat Sinar Harian memainkan peranan untuk terus memperkasa usahawan tempatan, katanya.
"Saya menjangkakan sebuah malam penganugerahan yang amat mengujakan dan cukup signifikan untuk mengangkat usahawan berjaya.
"Objektif BISA adalah untuk menyokong usahawan yang membina perniagaan dari bawah hingga mampu menyumbang kepada ekonomi setempat termasuklah peluang pekerjaan kepada komuniti dan pada malam ini kita mengiktiraf mereka dan semoga ia dapat memberikan inspirasi kepada semua,” katanya.
Mengulas mengenai pemilihan pemenang, Farah mengakui ia merupakan satu proses yang rumit dan perlu dilaksanakan dengan amat teliti.
Ujarnya, panel juri terdiri daripada pihak Sinar Karangkraf sangat mengambil berat setiap pencalonan diterima.
"Kami menumpukan kepada calon yang benar-benar layak dan telah berjaya memberikan impak besar kepada pemerkasaan dan kemampanan ekonomi negara.
"Alhamdulillah, sambutan dan respons daripada usahawan amat menggalakkan.
"Malah bukan dalam kalangan usahawan sahaja, tetapi seluruh ekosistem perniagaan secara keseluruhannya menyambut baik usaha yang diketengahkan oleh Sinar Harian ini,” jelas
Untuk maklumat lanjut, layari https://bisaawards.sinarharian.com.my/ atau e-mel: bisaward@sinarharian.com.my.