Murid dakwa dengar suara halus sebelum tikam guru hingga mati

Iklan
Pegawai polis berdiri di pintu masuk sebuah sekolah menengah di bandar Saint-Jean-de-Luz, Perancis, dalam kejadian seorang guru maut selepas ditikam oleh seorang murid pada Rabu. - Foto AFP

PARIS - Seorang guru maut ditikam murid di sebuah sekolah menengah di bandar Saint-Jean-de-Luz, Perancis.

Dalam kejadian di Sekolah Menengah Saint-Thomas d'Aquin pada Rabu, suspek dilapor memasuki bilik darjah ketika guru wanita berusia 50-an itu sedang mengajar kelas bahasa Sepanyol lalu menyerangnya.

Iklan
Iklan

Penyerang terlebih dahulu mengunci pintu bilik darjah sebelum menikam guru tersebut di bahagian dada.

Suspek berusia 16 tahun itu berjaya ditahan tidak lama kemudian.

Iklan

Media tempatan melaporkan suspek mungkin mengalami masalah kesihatan mental.

BFMTV dalam laporannya menyebut bahawa suspek mendakwa 'dirasuk' untuk menikam dada guru itu.

Iklan

Selepas menikam mangsa, suspek dilapor melarikan diri ke bilik bersebelahan di mana dia memberitahu seorang guru di situ bahawa satu suara halus telah mengarahnya melakukan serangan itu.

Guru berkenaan kemudian mengambil senjata daripada pelajar itu dan berada bersamanya sehingga polis tiba.

Kejadian mendukacitakan ini turut mendapat perhatian Presiden Perancis Emanuel Macron.

"Pembunuhan seorang guru di Saint-Jean-de-Luz amat menyedihkan.

"Saya berkongsi kepedihan yang ditanggung keluarga mangsa, rakan sekerja, pelajar, para guru yang mendedikasikan hidup mereka untuk menyampaikan ilmu kepada generasi akan datang.

"Seluruh negara bersamamu.” - Awani