Lima nelayan ditahan, guna bot orang lain tangkap ikan

Iklan
Bot kelas A yang ditahan dalam Op Pertiwi yang dijalankan pada petang Rabu.

GEORGETOWN - Lima nelayan tempatan ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang ketika sedang menangkap ikan di Pulau Rimau di sini pada jam 6.30 petang, Rabu.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua nelayan termasuk seorang tekong berusia antara 33 hingga 47 tahun itu ditahan dalam Op Pertiwi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.

"Ketika menjalankan operasi, kita menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A (kenka) yang dinaiki lima nelayan di 4.6 batu nautika tenggara Pulau Rimau.

Iklan

"Pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak diusahakan oleh pemilik sendiri dan oleh itu, mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kata beliau, bot dan semua nelayan yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Gerakan Marin Batu Uban dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Amaran dan nasihat sudah diberi kepada pengusaha atau pemilik bot. Oleh itu, kita tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas mereka yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

"Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera," katanya.