AEON CO. (M) BHD. (AEON) merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sejumlah RM211.4 juta iaitu peningkatan sebanyak 61.4 peratus berbanding RM131 juta yang dicatat pada tahun lepas bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
AEON dalam satu kenyataan berkata, syarikat juga mencatat hasil sejumlah RM4.14 bilion iaitu 14.1 peratus lebih tinggi berbanding hasil tahun lepas sebanyak RM3.63 bilion.
"Perkhidmatan peruncitan merekodkan hasil yang memberangsangkan sejumlah RM903.7 juta iaitu kenaikan sebanyak 5.8 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas yang telah mencatat hasil sebanyak RM854.2 juta.
"Peningkatan hasil ini didorong terutamanya oleh perayaan-perayaan awal dan perbelanjaan semasa cuti akhir tahun,” jelas kenyataan itu.
AEON berkata, hasil yang dicatat oleh perkhidmatan pengurusan hartanah bertambah kepada RM158.1 juta, iaitu 14.6 peratus lebih tinggi berbanding catatan suku tahun sama tahun lepas sebanyak RM137.9 juta.
Pengarah Urusan AEON, Keiji Ono berkata, pertumbuhan hasil dan keuntungan AEON adalah hasil langsung daripada penyambungan semula aktiviti ekonomi, ditambah dengan perbelanjaan yang lebih tinggi semasa perayaan.
"Di sebalik tekanan inflasi global yang berterusan dan cabaran rantaian bekalan, kami telah berjaya mencapai tahap keuntungan pra-pandemik yang merupakan pencapaian yang luar biasa.
"Keputusan akhir tahun ini dicapai melalui komitmen dan sokongan dari AEON People, rakan niaga dan para pelanggan kami. Kami telah berjaya mengharungi cabaran ini, dan keputusan kewangan akhir tahun ini mencerminkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk berjaya,” katanya.
Beliau berkata, selama ini, AEON telah berjaya meletakkan jenama dan portfolionya di samping mewujudkan strategi kategori pelanggan yang jelas dan kukuh untuk meningkatkan pengalaman membeli belah.
"Bagi AEON, ia bukan sahaja memenuhi keperluan pelanggan tetapi mencipta pengalaman bernilai yang akan mewujudkan kesetiaan dan kepercayaan dalam jangka panjang.
"Kami juga percaya bahawa dengan mengutamakan agenda kemampanan, AEON dapat mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham, pelanggan dan pekerja kami. AEON kekal komited terhadap inisiatif kemampanannya dan kami berbangga dengan kemajuan yang telah kami capai ke arah mencapai matlamat kemampanan kami.
"Kami akan terus mempergiatkan inisiatif kemampanan kami dengan pemasangan sistem Solar Photovoltaic (PV) di pusat membeli-belah AEON dan melaksanakan inisiatif pengurusan sisa," kata Ono.
Beliau berkata, AEON juga akan terus menumpukan pada pembangunan AEON Living Zone dalam mempercepatkan penyepaduan digitalnya ke dalam model perniagaan sedia ada untuk memastikan pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah yang mudah di samping AEON akan kekal maju.
"Ia akan dilaksanakan untuk kemudahan ekosistem kami dan semua pusat beli-belah dan pasar raya kami letakkan pada satu platform yang dikongsi bersama.
"Bagi perlaksanaan ini, kami akan memastikan setiap inisiatif yang dijalankan bukan sahaja tertumpu kepada pertumbuhan perniagaan tetapi juga memenuhi keperluan pelanggan dan komuniti kami,” katanya.
AEON juga mengumumkan dividen akhir sebanyak empat sen sesaham biasa untuk tahun kewangan bersamaan dengan RM56.2 juta atau nisbah pembayaran 50 peratus untuk kelulusan pemegang saham.