KUALA LUMPUR - Sesi perkongsian berkaitan sektor perumahan dengan pihak luar termasuk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura adalah bagi memastikan penyediaan polisi dan tindakan lebih komprehensif serta praktikal untuk keperluan perumahan negara.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya sentiasa bersikap terbuka mengadakan sesi perkongsian bukan sahaja dengan HDB, malah bercadang menimba ilmu dengan Turkiye melibatkan aspek pembangunan tanah wakaf.
"Sesi sebegini memberi ruang kepada KPKT untuk mengkaji dan meneliti perspektif baharu selain mempelajari amalan terbaik mengenai sektor perumahan khususnya perumahan sosial.
"Kerajaan mengambil sikap tawaduk dan merendah diri dalam perkara ini asalkan ia memberi manfaat kepada rakyat dan negara, jadi apa salahnya kita belajar daripada negara jiran, bukan Singapura sahaja malah Indonesia dan Thailand,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai rasional membawa masuk pakar perumahan Singapura ke negara ini sedangkan negara mempunyai pakar perancangan bandar tempatan yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan tersebut.
Kor Ming berkata, HDB telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa berkaitan sektor perumahan seperti Anugerah Pengiktirafan Khas oleh Juri Antarabangsa di Jerman pada 2016 kerana kejayaan membangunkan model pembangunan berstrata dan Anugerah Landskap dari International Federation of Landscape Architects (IFLA) Africa, Asia Pacific & Middle East (AAPME) Awards (2022).
Beliau berkata, antara cadangan topik bagi sesi perkongsian bersama HDB termasuk berkaitan polisi, hala tuju pelaksanaan, pengurusan, perancangan pembangunan, penyelenggaraan bangunan dan pembiayaan bagi perumahan sosial.
Menurutnya, contoh tauladan baik seperti penyediaan perumahan awam dengan fasiliti bertaraf lima bintang pada harga bajet antara model yang bakal dipelajari.
"Kita belajar termasuk ciri-ciri (perumahan) yang baik daripada Singapura yang ada ciri-ciri komersial supaya perumahan awam kita mempunyai elemen liveability (berdaya huni), connectivity (ketersalinghubungan) dan sustainabilty (kelestarian).
"Adalah baik (untuk kita belajar), perumahan awam di negara kita kekurangan kualiti, kehijauan dan kelestarian komuniti namun kita ada contoh perumahan awam yang baik di negara ini seperti Perumahan Penjawat Awam Desa Park City,” katanya. - Bernama